Pilihan EditorTwo Cents

Insentif PENJANA Tangani Kemelut Pengangguran Belia

Oleh Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

 

Penularan pandemik COVID-19 suatu krisis kesihatan awam yang akan dititipkan dalam sejarah peradaban moden sebagai musibah paling dahsyat pernah melanda dunia.

Lantas, kebanyakan negara mengambil langkah drastik melaksanakan perintah berkurung ataupun lockdown bagi menangani krisis jangkitan ini yang merebak pantas sehingga mengakibatkan kematian ramai penduduk dunia.

Inisiatif ini turut dilaksanakan di Malaysia. Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia disusuli fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini memasuki pula fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pelaksanaan PKP yang melalui beberapa fasa ini memberi implikasi serius terhadap ekonomi.

Ia menyaksikan berlaku penyusutan kadar keuntungan dalam pasaran global, prospek ekonomi dunia merosot, ketidaktentuan keadaan pasaran kewangan dan kejatuhan harga minyak dunia pada paras terendah kesan daripada kegagalan proses aliran ekonomi yang terhenti seketika dalam tempoh terbabit.

Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang meramalkan pandemik COVID-19 mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020 yang mungkin menyerupai krisis kewangan dunia pada 2008 hingga 2009.

Bahkan, Bank Dunia meramalkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menguncup antara 0.1 hingga 4.6 peratus tahun ini kesan daripada wabak COVID-19.

Hakikatnya, dalam membicarakan implikasi negatif ini sudah pasti ia memberikan ancaman dahsyat terhadap sektor industri sehingga ada yang terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi.

Ini termasuk mengecilkan saiz operasi sehingga terpaksa memberhentikan pekerja disebabkan ketidakupayaan industri mengekalkan operasi untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia bagi suku pertama tahun ini, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa tempias daripada langkah ini mengakibatkan berlaku peningkatan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus, berbanding 3.2 peratus pada suku keempat 2019.

Ini berikutan kadar pengangguran yang meningkat pada Mac lalu dipengaruhi oleh impak negatif PKP ke atas pasaran buruh.

Dalam tempoh itu jumlah pengangguran naik kepada 5.8 peratus iaitu dianggarkan berjumlah 546,600 orang berbanding suku sama tahun lalu.

Keadaan ini amat membimbangkan. Daripada jumlah itu golongan paling terkesan adalah kumpulan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun. Kelompok ini mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9 peratus berbanding kumpulan usia lain.

Sehubungan itu, usaha kerajaan menerusi pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion digerakkan bertujuan memulihkan semula ekonomi negara.

Salah satu daripadanya untuk menangani cabaran peningkatan kadar pengangguran menerusi peruntukan khusus berjumlah hampir RM9 bilion yang berupaya memanfaatkan 3 juta pekerja.

Ia usaha yang harus dipuji dalam meringankan beban rakyat yang terjejas kesan penularan COVID-19.

Pelan ini juga merangkumi inisiatif untuk memberikan bantuan kewangan, peningkatan kemahiran serta peluang pekerjaan kepada rakyat terjejas termasuk belia dan generasi muda.

Namun, dalam konteks ini kerajaan memerlukan suatu bentuk pelan khusus yang memberikan fokus kepada golongan belia dan generasi muda bagi membantu kelangsungan mereka dalam menghadapi pandemik ini.

Keadaan ini amat merisaukan apabila kesan daripada kehilangan pekerjaan serta peralihan pekerjaan akan mengakibatkan belia mengalami defisit kemahiran, pengetahuan dan guna tenaga sehingga memberikan implikasi terhadap peningkatan kerjaya serta kualiti hidup mereka.

Kerajaan perlu mewujudkan pasukan petugas khas serta membuat senarai rekod penerima secara terbuka.

Ini penting bagi memastikan insentif PENJANA yang disalurkan kerajaan kepada syarikat akan benar-benar memanfaatkan pekerja serta tidak berlaku penyelewengan dana yang dikhuatiri merencatkan usaha kerajaan dalam menangani masalah pengangguran khususnya belia.

Kerajaan juga harus mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat yang menerima insentif ini, namun masih bertindak memberhentikan pekerja.

Tuntasnya, kerajaan harus memastikan insentif menerusi PENJANA berupaya untuk menyelesaikan kemelut kehilangan pekerjaan khususnya belia di samping berupaya memperoleh pekerjaan berkualiti dengan kadar gaji yang bermaruah. – BERITA HARIAN ONLINE

 

  • Penulis ialah Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close