Jumlah pencari rumah meningkat kepada 45 peratus pada tempoh pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut kaji selidik oleh iProperty.com.my (iProperty).
Portal hartanah itu berkata, kaji selidik menunjukkan bahawa 24 peratus responden yang tidak berhasrat untuk membeli hartanah sebelum PKP, kini mahu membelinya selepas pengumuman PKP.
Kaji selidik itu juga menunjukkan sebanyak 90 peratus responden memberitahu faktor yang membantu mereka membuat keputusan adalah seperti pembayaran tanpa deposit, diskaun oleh pemaju dan subsidi yuran guaman.
Pengurus Besar Pemasaran dan Komunikasi iProperty, Wong Siew Lai, berkata hasil kaji selidik itu menunjukkan sesuatu yang sangat menggalakkan mengenai kehendak pencari hartanah walaupun selepas berlakunya penularan COVID-19.
“Sekiranya mereka menemui tawaran yang sesuai, kebanyakan pencari hartanah bersedia untuk melabur walaupun ia melebihi harga pilihan awal mereka,” katanya.
Kaji selidik dilakukan antara 14 Mei hingga 1 Jun tahun ini terhadap generasi Z (berumur 18 hingga 23 tahun), generasi Y (berumur 24 hingga 34 tahun) dan generasi X (berumur 35 hingga 54). – BERNAMA