Pilihan EditorTwo Cents

KACAMATA KU: Membina Negara Merdeka Bebas Politik Toksik!

Oleh Dzulkifli Abdul Razak

Menjelang hari kemerdekaan tidak beberapa hari lagi, ramai rakyat tertunggu-tunggu selepas 67 tahun hari muka sebagai yang dijanjikan. Atau sebaliknya?

Yang jelas Hari Merdeka kali ini persis menyedarkan kita semula akan apa itu sebenarnya erti “merdeka.”

Tatkala merujuk kepada apa sedang menimpa rakyat Gaza sejak 10 bulan lalu, maka jelaslah yang “merdeka” tidak dapat dijual beli, tidak juga ditukar ganti, apatah lagi diracuni oleh sesiapa sahaja!

Dalam pada itu kenyataan YB Menteri Luar baru-baru ini yang politik negara sudah sampai ke peringkat ‘toksik’ – istilah inggeris yang membawa makna ‘keracunan’, amat menggusarkan.

Secara tidak langsung ia menampakkan kekalutan, kemudaratan serta kecelaruan sebagai satu budaya menrentasi masyarakat yang merdeka. Ertinya tidak ada ketentuan, terumbang-ambing, kecemasan, kekusutan serba-serbi bagaikan seorang diracuni.

Cukup lemah, tidak berdaya untuk mempertahankan diri kerana bahan racun sudah menular ke pelosok jiwa! Dari satu segi racun yang dimaksudkan umpama kata-kata celupar yang mampu meracuni semua.

Apatah lagi jika tidak sopan dan biadab, petah aib-mengaib, bersengketa secara terbuka, tidak terkelola mulut berbisa kata-mengata.

Kepada mereka jangan diberi kuasa, titah Sultan Perak memperingati mereka yang leka. Bahkan tidak akan reda selagi rakyat terpendam akibat dusta.

Malah menteri berkenaan menyebut ini berlaku pada skala luar jangkaan dan menyebabkan kehilangan nilai dan maruah. Ia terserlah dalam berbagai bentuk penipuan, kebencian serta juga sindiran, ujar beliau lagi! 

Dengan kata lain, tahap politik toksik menjangkau paling parah!

Jika digunakan ukuran kesihatan, tahap ini boleh membawa padah sepertimana kiasannya: “kematangan dan kesusilaan sudahpun mati.”

Walaupun dianggap tertumpu kepada politik Melayu, namun jelas hampir semua para politik kini terjerumus melainkan beberapa seperti YB Pasir Gudang sebagai contoh teladan berhemat.

Sahlah oleh itu seperti yang dikatakan bahawa politik toksik penjahanam nilai dan idealisme.

Perlu diperangi, bukan sekadar cakap tidak serupa bikin yang acap kali berlaku melalui amalan penipuan dan pembohongan yang diakui sendiri.

Mungkin media sosial boleh dipersalahkan, namun sebenarnya ia sekadar satu pentas yang berkecuali. Yang salah adalah pengguna pentas berkenaan. Sepertimana parti politik juga. Pengisiannya yang menjadi penentu.

Berdekad-dekad memerintah, tiba-tiba terhumban kerana pengisian songsang, tamak, belot.

Tidak bermaruah, sanggup menconteng arang di muka sendiri dan bangsanya.

Dalam pada itu tidak boleh ditegur sama sekali. Tanpa usul periksaan akan didera, disingkir dan dilenyapkan.

Yang banyak berjasa tidak terkecuali, lupa akan masa lama apabila menjadi melukut di tepi gantang. Mengemis-gemis kuasa tanpa segan silu. Kini bagaikan kadok naik junjung. 

Bagaikan kacang lupakan kulit. Bagaikan melepaskan anjing yang tersepit.

Tidak sedarkan diri, tidak pula pandai membalas budi. Malah terus meracuni pentas berkecuali menabur politik toksik. 

Ramai pula yang semakin  takut bersuara, takut hilang kuasa, takut kepada manusia.

Bukan yang Maha Esa. Maka lahirlah generasi pendusta durjana, mengapikan politik toksik – baik sarjana, agamawan, penganalisa dan penulis berita yang kononnya penyambung lidah rakyat.

Sedangkan lidahnya sendiri bercabang-cabang. Hari ini boleh, esok tidak, lusa mungkin – andaian lalang ditiup angin. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Yang kekal adalah kemunafikan menebal tanpa peduli syurga neraka. Yang utama dunia baginya, bukan juga rakan jelata. Egowan paling atas letaknya!

Pun begitu, budaya toksik ini sudah lama dikesani kerana mengikut hukumnya yang paling mudah dan kekal diracuni adalah minda dan pemikiran!

Lantaran pendidikan mesti tegas dan lincah menyusur kalaupun tidak mendahului perubahan – berterusan, berimbang dan bersepadu – mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996 untuk membenteng kesejahteraan diri!

Bebas, berani lagi bijak bestari sebagai seorang budiman disanjungi.

Bukan sembarangan mengikut ego yang tidak terlarang seperti sekarang, termasuk politik sumbang yang turut meracuni pendidikan yang sengaja dipolitikkan.

Jika disebut, naik berang. Bukan otak yang terangsang menjadi cemerlang. Ego yang melenting, sepak terajang. Maka terus-menerus dihimpit lagi sehingga menjadi lebih sempit dan perit. Terus disumbat supaya bisu. Berilmu menjadi palsu lagi kaku. 

Lantas pendidikan tercicir ke belakang. Tidak lagi seimbang dan etika.

Toksiknya bukan kepalang!

Masa hadapan menjadi kelam. Meraba-raba mencari cahaya insan sejahtera! Mata rabun, hatinya buta!

Meronta-ronta entah kemana hendak dibawa dalam dunia politik toksik bertindak  sebagai penamat zuriat!

Oleh itu berterima kasih kita kepada YB Menteri Luar kerana peka menyelamatkan negara dan bangsa tanpa berpura-pura. Tepat pada masa dan ketika, menerangi semula etika.  Menyahkan budaya politik toksik yang sudah merebak bak pandemik Covid-19. Menyelinap tanpa disedari kesanubari.

Hari demi hari memakan diri kerana ada yang enggan mematuhi naluri fitrah berilmu suci. Insaf mencari barakah untuk semua, bukan hanya untuk kelompok egowan politik muflis yang  dangkal perhitungannya.

Semoga kali ini laungan merdeka hakiki, tiada toksik lagi. Ketentuan Ilahi. – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis adalah Pengasas-Pengarah Pusat Racun Negara di Universiti Sains Malaysia (1995-2000) sebelum dilantik Naib Canselor USM (2000-2011)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close