Two Cents

Pelan Pemulihan Ekonomi Utama Golongan Belia

Oleh Muhammad Iqbal Ikhwandi

 

Pelan Pemulihan Ekonomi (RESTART) yang dirangka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah tepat pada masanya sebagai salah satu langkah exit policy atau dasar pemisah dalam mendepani tempoh pasca pandemik.

Ini satu daripada usaha proaktif dengan suatu kerangka komprehensif dibina menggariskan tujuh strategi utama bagi agenda RESTART.

Daripada tujuh strategi utama digariskan itu, saya tertarik dan ingin mengulas mengenai satu daripadanya, iaitu cadangan untuk memperkenalkan Skim Perantisan Nasional (SPN) dalam usaha memberi peluang mendapatkan pengalaman pekerjaan kepada belia.

Dalam menjayakan SPN ini, kerjasama antara kerajaan dan swasta atau PPP, termasuk syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) adalah amat penting dan perlu menjadi tunjang utama dalam merealisasikan SPN.

Selain memastikan pembabitan berkesan oleh pihak swasta dan GLC, sebuah pasukan petugas khas ataupun sekretariat perlu ditubuhkan yang merentas pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

Selain KBS, ia turut meliputi Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Kementerian Sumber Manusia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan beberapa agensi berkaitan lain.

Pasukan ini perlu ditubuhkan terlebih dahulu bagi mewujudkan koordinasi, kebersamaan dan kefahaman yang kukuh antara satu sama lain.

Golongan belia tidak boleh lagi diberi watak sampingan ataupun tempelan dalam rencana pembangunan ekonomi negara. Ini kerana statistik menunjukkan majoriti penganggur adalah daripada golongan belia, iaitu sebanyak 80 peratus.

Agenda pengukuhan ekonomi belia ini harus diarus perdana dan menjadi agenda nasional kerana lebih kurang satu pertiga rakyat Malaysia adalah daripada golongan belia.

Sehubungan itu, mesej ini harus disemat bukan sahaja dalam perkhidmatan awam, malah harus juga dihayati dan difahami syarikat swasta dan GLC sebagai pemangkin kepada usaha ‘keazaman korporat’ mereka bagi menyahut seruan kerajaan dalam menyokong agenda RESTART.

Syarikat swasta dan GLC wajar mengambil kesempatan dalam projek RESTART kerana ia boleh menjadi ‘serampang dua mata’ kepada mereka.

Selain mempunyai talent pool atau kelompok bakat tenaga kerja atau sumber manusia yang utuh dan luas, ia juga membantu mereka dalam menikmati penjimatan melalui kos pengambilan dan latihan pekerja.

Bagi tujuan ini, kerajaan boleh menawarkan beberapa insentif seperti Potongan Cukai Berganda dan Skim HRDF-SPN kepada syarikat yang mempunyai ‘keazaman korporat’ untuk menjadi sebahagian ‘rakan kongsi’ agenda RESTART.

Pembabitan syarikat ini dalam agenda RESTART juga boleh dikategorikan sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, sekali gus meningkatkan reputasi serta imej syarikat dan pada masa sama, mencapai Indeks Pengukur Utama (KPI) yang ditetapkan syarikat masing-masing.

Saya ingin cadangkan sebagai langkah pertama kerajaan boleh memulakan dengan beberapa industri yang dikawal selia seperti industri perbankan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan untuk mengambil graduan baharu bekerja di bank, syarikat telekomunikasi dan hospital di bawah agenda RESTART ini.

Institusi yang mengawal selia industri seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi industri perbankan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi industri telekomunikasi boleh memandatorikan pengambilan graduan baharu di bawah agenda RESTART dengan meletakkan syarat tambahan dalam permohonan perlesenan syarikat dikawal selia.

Akhir sekali, saya yakin berkat usaha semua pihak yang menggembleng fikrah, usaha dan tenaga objektif agenda RESTART ini akan dapat dicapai.

KBS sendiri selaku agensi utama dan pelaksana akan sentiasa bersikap inklusif dan fleksibel dalam menilai sebarang cadangan dan teguran dari masa ke semasa bagi tujuan penambahbaikan berterusan. – BERITA HARIAN ONLINE

  • Penulis ialah Strategis polisi dan komunikasi, serta Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Fikrah Anak Malaysia (ILHAM).

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close