Turun Naik

Program ILKBS Lahirkan Generasi Berinovasi

Oleh Nur Shazwanie Rosehan dan Shahhanim Yahya

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah satu proses pendidikan dan latihan bertujuan melahirkan tenaga kerja berdaya saing seiring keperluan serta kehendak industri masa kini.

Seiring hasrat kerajaan untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan latihan kemahiran pelbagai bidang kepada belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

ILKBS ketika ini mempunyai 22 institusi di seluruh negara menawarkan program peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan mengikut standard industri serta diiktiraf pelbagai agensi pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Konsep latihan di ILKBS dijalankan secara bersepadu yang mana 80 peratus adalah membabitkan latihan kemahiran dan 20 peratus adalah pembangunan bina insan merangkumi subjek keusahawanan, kepimpinan, keagamaan dan kerohanian serta sukan dan rekreasi.

Objektif program ini menyumbang tenaga kepakaran atau kemahiran pengajar, pegawai dan pelajar ILKBS kepada masyarakat setempat dengan membabitkan kerja penyelenggaraan serta pembaikan kecil terhadap kemudahan fizikal awam.

Sehingga 2022, 158 program dilaksanakan membabitkan 28,374 peserta terdiri daripada pelajar dan pengajar ILKBS, belia serta komuniti setempat.

Program beri nilai tambah

Antara bidang keutamaan kemahiran ditawarkan dalam program ini adalah teknologi automotif, teknologi elektrik, teknologi mekanikal, teknologi awam dan teknologi fesyen dan pakaian.

Hasil kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati Program Impak ILKBS@Komuniti berjaya memberi nilai tambah kepada peserta melalui penyerlahan bakat belia sebanyak 95 peratus, bakat kepemimpinan (90.2 peratus), kesukarelawanan (85.2 peratus) dan membantu pembangunan belia menerusi pembangunan aset dalaman dan luaran (82.8 peratus).

Dapatan IYRES juga menunjukkan persepsi komuniti meningkat sehingga 87.5 peratus hasil daripada pelaksanaan program berkenaan.

Ia menunjukkan peranan kumpulan pelaksana seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan pelbagai agensi lain amat penting untuk turut terbabit dalam program ini bagi memastikan pembangunan belia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Bahkan, program kemahiran dan kepakaran seumpama ini berpotensi menawarkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang lumayan telah menjadi antara faktor penarik individu untuk menyertainya.

Pentadbiran dan program tersusun, pengurusan logistik yang baik, aktiviti berorientasikan bidang kemahiran pengajian serta membina kemahiran berasaskan kepakaran juga aspek penting menarik minat individu dan memastikan keberkesanan Program Impak ILKBS@Komuniti.

Tambahan pula, pembabitan dan penyertaan menyeluruh program berkaitan TVET dapat dipupuk dari semasa ke semasa selaras matlamat Dasar Belia Malaysia ,iaitu menyerlahkan bakat dan potensi modal insan belia supaya berkeupayaan menyumbang pada semua peringkat melalui bidang pendidikan dan latihan kemahiran.

Program seumpama ini penting untuk diteruskan dan diperbanyakkan bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan graduan TVET dalam kalangan belia Malaysia. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Penyelidik Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close