Oleh Nazmi Yaakub
URSULA Iguaran adalah watak induk dalam One Hundred Years of Solitude karya Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Gabriel García Marquez, hidup lebih seabad di kota fiksyen Macondo, simbol kepada keteguhan, trauma dan kepemimpinan dalam dunia realisme magis Columbia.
Ursula bukan sekadar ibu kepada keluarga Buendía, tetapi titik mula kepada masalah hingga membawa kepada penghijrahannya bersama Jose Arcadio Buendia diikuti rakan serta keluarga masing-masing, meninggalkan peristiwa tragik Prudencio Aguilar akibat ejekan turut berpunca daripada wanita itu akibat mitos dan kepercayaannya.
Begitulah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai watak besar dalam sejarah panjang beliau dan negara ini. Hari ini, 10 Julai 2025, beliau menempuh usia 100 tahun atau satu abad sempurna, iaitu garis usia sangat jarang dilintasi, lebih-lebih lagi negarawan dan pemimpin politik.

Ahli politik, intelegensia hadapi kuasa perkasa

Dr Mahathir lahir dalam ruang getir itu, iaitu Tanah Melayu sendiri masih dijajah British, sekali gus menjadikan ahli politik zaman itu bukan politikus biasa, tetapi intelegensia dan cendekiawan yang perlu berdepan kuasa perkasa dunia.
Selepas kembali kepada UMNO di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein, beliau membina kekuatan di sebalik pandangan curiga sebahagian pemimpin parti itu. Pelantikannya sebagai Perdana Menteri keempat pada 1981 bukan sekadar peralihan kuasa, tetapi menjadi simbol perubahan arah: Malaysia mula menjejak kaki dalam fasa liberalisasi ekonomi, penswastaan dan pemodenan sistem pentadbiran.
Tahun-tahun 1980-an adalah dekad menyaksikan kecenderungan global kepada ekonomi liberal. Margaret Thatcher di United Kingdom (UK) dan Ronald Reagan di Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan gelombang penswastaan yang menobatkan pasaran bebas dan pengurangan peranan kerajaan.
Malaysia di sebalik ‘perseteruan’ dengan kuasa dominan termasuk ‘Buy British Last’, turut menyambut dasar ini, meskipun dengan acuan sendiri, iaitu berlatarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dr Mahathir memperkenalkan penswastaan bukan sekadar untuk menjimatkan perbelanjaan negara, bahkan mempercepatkan pembangunan, mewujudkan korporat nasional dan memperkasakan ekuiti Bumiputera.
Namun seperti semua projek besar sejarah, tidak semuanya kalis kesilapan. Penswastaan meskipun dengan nawaitu unggul, menyaksikan ketirisan, kronisme dan penompokkan kekayaan kepada kelompok tertentu.
Ia tidak hanya berlaku dalam dasar ekonomi, Dr Mahathir berkeras untuk mengubah rakyat Malaysia dan orang Melayu, beliau memperkenalkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003. Selepas melalui kajian teliti, dasar itu terpaksa dimansuhkan kerana usaha memperkasa pelajar Malaysia dalam persaingan global tidak cukup dengan hasrat murni tanpa falsafah dan metodologi yang benar.
Malah, pertembungan Dr Mahathir dengan timbalan beliau sendiri, pada akhir 1990-an melatari sejarah politik negara. Lebih satu dekad sebelumnya, pertentangan beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menyebabkan UMNO terbelah dan diharamkan, tetapi menjelang milenium baharu, politik Malaysia berantakan.
Tokoh tidak mudah berpuas hati

Memang Dr Mahathir dianggap tokoh tidak mudah berpuas hati baik dengan ‘bakal pengganti’ mahupun pewaris kerusi kuasa. Beliau berbalah dengan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap tidak melanjutkan dasar-dasarnya dengan cukup tekal, kemudian bertembung dengan Datuk Seri Najib Razak.
Ia lebih dramatik kerana bukan sahaja Dr Mahathir keluar daripada UMNO kali kedua, bahkan membentuk parti baharu, BERSATU dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sebelum memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) serta kembali sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 – pada usia 93 tahun, sekali gus mencatat rekod dunia.
Namun, ada juga percaturan Dr Mahathir tidak menjadi. Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) diasaskannya dan diwariskan kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tewas teruk dalam PRU15, malah hilang wang pertaruhan termasuk Parlimen Langkawi diwakilinya sendiri.
Kita boleh berbeza pandangan dengan Dr Mahathir – bahkan terlalu banyak dari soal politik dan dasar hingga agama – tetapi beliau sebahagian naratif besar negara. Beliau mula membina citra Malaysia sebagai negara industri baharu, memperkenalkan Wawasan 2020 sebagai visi kolektif rakyat dan membentuk gagasan Bangsa Malaysia sebagai jalinan identiti pelbagai kaum.
Beliau juga berani menongkah arus dengan mengkritik kuasa besar dan menentang campur tangan luar, malah menyanggah sistem kewangan global semasa krisis ekonomi 1997-1998.
Penuh paradoks, membina tapi menggegarkan
Dr Mahathir adalah tokoh penuh paradoks: membina tetapi menggegarkan hingga meruntuhkan dan membawa kestabilan, namun boleh mencetuskan gelombang. Beliau adalah Ursula yang pernah membuka jalan ke Macondo dan Ursula yang menyaksikan rumah keluarga Buendía roboh satu demi satu akibat sumpahan sejarah.
Bezanya, Malaysia bukan Macondo yang akhirnya lenyap dari peta, tetapi negara sedang meniti trajektori perubahan signifikan dengan landskap politik baharu pelbagai blok, pembangunan ekonomi pascapandemik, digital dan hijau serta reformasi institusi, tetapi dengan kesedaran rakyat semakin tinggi dan lebih sukar dipenuhi.
Namun perubahan ini tidak akan berjaya jika dibebankan kepada satu tokoh sahaja. Malaysia tidak pernah dibangunkan seorang Dr Mahathir semata-mata, tetapi adalah milik bersama dan masa depannya bergantung kepada kerjasama seluruh pemegang taruh – ahli politik, penjawat awam, sarjana, akademia dan pendidik, ahli korporat serta usahawan, wartawan, sasterawan, seniman dan rakyat.

Justeru, meraikan usia satu abad Dr Mahathir sebagai centenarian politician, kita bukan hanya mengenang tokoh, bahkan merenung sejarah negara, iaitu segala pencapaian dan kegagalan serta pergelutan dan harapan agar kita tidak mengulang kesilapan sama serta tidak mensia-siakan impian bersama.
Jika Ursula dalam fiksyen hidup untuk melihat kehancuran Macondo dan seluruh keluarga Buendía, Dr Mahathir dan kita sepatutnya menyaksikan Malaysia terus melangkah lebih jauh. – BH ONLINE
- Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH




