Pilihan EditorTurun Naik

Kesabaran & Pengharapan Nabi Ayub Kepada Allah Teladan Dalam Mendepani COVID-19 – Peguam Muda Kampung

  Oleh Faisalludin Mohamat Yusuff

 

Pandemik Covid-19 ini tidak pernah sama sekali dijangka oleh mana-mana rakyat di negara ini dan seluruh dunia.

Ianya bukan setakat wabak yang telah menjangkiti 31,548 rakyat negara ini bahkan telah meragut nyawa seramai 249 orang setakat 30.10.2020.

Jumlah ini semakin bertambah setiap hari. Ditambah pula, tiada sebarang jaminan ianya akan hilang dalam tempoh yang terdekat.

Kesan wabak ini bukan sahaja terhadap kesihatan rakyat bahkan telah mengganggu-gugat kedudukan ekonomi melimpah ruah yang dinikmati oleh rakyat dan negara selama ini.

Penutupan operasi perniagaan oleh syarikat-syarikat mengakibatkan kadar pengangguran yang semakin tinggi.

Sehinggakan apabila saya berbual dengan teman-teman yang bekerja sendiri ramai yang buntu, mati akal, tidak tahu nak buat apa, putus asa dan kecewa dengan keadaan semasa.

Sudahlah wabak covid-19 masih mengganas, ekonomi merudum dengan teruk, pemimpin politik yang diharapkan membela mereka pula asyik berebut kuasa.

Dalam hal ini, saya teringat satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Daripada Mush’ab bin Sa’d daripada ayahnya Sa’d bin Abu Waqash, beliau berkata, saya bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling hebat ujiannya?” Nabi menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang yang soleh, kemudian mereka yang selanjutnya (iaitu lebih utama) dan selanjutnya.

Salah seorang Nabi yang menerima ujian yang sangat berat adalah Nabi Ayub a.s. Ulama ahli tafsir, ahli sejarah dan ilmuan mengatakan bahawa Nabi Ayub adalah seorang lelaki yang kaya raya dan mempunyai ahli keluarga yang sangat ramai.

Tetapi Allah SWT menguji baginda dengan kesakitan yang tidak pernah dialami oleh mana-mana manusia sehingga tidak ada satu pun anggota tubuhnya yang sihat kecuali hati dan lidahnya.

Kesemua hartanya dan ahli keluarganya hilang dan meninggalkannya sekelip mata melainkan isterinya yang setia. Ada ulama mengatakan bahawa, baginda mengalami kesakitan dan keperitan hidup ini selama 3 tahun.

Atas sifat SABAR baginda dan sentiasa bergantung harap kepada Allah swt dengan berDOA, ujian kesakitan yang dialaminya bukan sahaja sembuh bahkan Allah swt telah kembalikan semula kepadanya kekayaan dan seluruh ahli keluarganya.

Allah swt berfirman di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 83 – 84 yang bermaksud “Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: (Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang. Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah”.

Allah swt juga berfirman di dalam Surah Shaad ayat 41 – 44 yang bermaksud “Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya, Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan penderitaan dan bencana. (Allah berfirman), Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum.

Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan Kami lipat-gandakan jumlah mereka sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang berpikiran sehat. Dan ambillah seikat (rumput) dengan tanganmu, lalu pukullah dengan itu dan janganlah engkau melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sungguh, dia sangat taat (kepada Allah)”.

IBRAH yang boleh kita pelajari dari kisah Nabi Ayub adalah berkaitan sifat SABAR yang baginda tunjukkan sepanjang diuji penyakit yang amat dahsyat tersebut.

Baginda tidak pernah sesekali mengeluh bahkan sentiasa memuji kebesaran Allah swt walaupun kehilangan harta dan keluarga sekelip mata. Bukan sekejap, tetapi selama 3 tahun lamanya.

Jika nak dibandingkan dengan ujian yang dihadapi oleh Nabi Ayub a.s., wabak covid-19 yang kita hadapi ini tidaklah seberat mana.

Sekalipun ada dikalangan kita yang hilang punca pendapatan, ditimpa kesakitan tetapi kita masih mampu makan, minum, bermain dengan anak-anak, menonton TV, bersolat dan sebagainya, cuma ianya dilakukan dalam keadaan norma yang baharu.

Sifat sabar menghadapi sesuatu wabak penyakit telah diterangkan oleh Baginda Rasulullah saw di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud “Daripada Aisyah r.a., dia bertanya kepada Rasulullah mengenai wabak taun.

Rasulullah saw menerangkan bahawa wabak taun itu adalah satu azab (bala) daripada Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi hambanya yang beriman. Seseorang mukmin yang berada di daerah yang ditimpa wabak taun jika dia ikhlas dan sabar menghadapi bala itu serta mengetahui yang ia tidak akan terkena kecuali menurut apa yang telah ditentukan oleh Allah. Maka baginya pahala seperti pahala orang yang mati syahid”.

IBRAH kedua yang kita boleh pelajari dari teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Ayub a.s. adalah berkaitan sifat baginda yang senantiasa bergantung harap dan berdoa kepada Allah swt agar disembuhkan dari penyakit yang dahsyat tersebut.

Baginda mengadu dan berdoa kepada Allah swt dengan ucapan “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang….Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan penderitaan dan bencana”.

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasullullah saw bersabda Allah swt berfirman : Wahai anak adam sesungguhnya selagi engkau berdoa dalam mengharap kebaikan daripadaku nescaya aku ampunkan segala dosa-dosamu yang telah lalu dan aku tidak peduli sama ada dosa itu sedikit atau banyak.

Wahai anak adam jika dosamu sepenuh langit kemudian engkau memohon ampun nescaya aku ampunkannya. Wahai anak adam sesungguhnya jika engkau datang kepadaku dengan dosa sepenuh bumi kemudian engkau menemui aku sedangkan engkau tidak mensyirikkan aku dengan sesuatu nescaya aku akan datangkan keampunanku kepadamu sepenuh bumi”.

Dalam apa jua kesulitan, kesakitan dan kesusahan yang kita hadapi kini, jangan sesekali kita lupa untuk bergantung harap dan berdoa kepada Allah swt.

Setiap usaha yang kita lakukan, andai menjadi buntu, percayalah kepada Allah, berdoalah kepadanya dan mengadulah kepadanya, sebagaimana Nabi Ayub a.s.,

Insyallah, pasti akhirnya wabak Covid-19 ini bakal berakhir dan negara kita bakal kembali makmur harmoni sebagaimana biasa. – BACALAHMALAYSIA.MY

#MasyarakatRabbaniNegaraHarmoni

#AkhiratDiDepan

 

  • Penulis ialah Peguam Muda Kampung (PMK)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

2 Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Semak Juga
Close
Back to top button
Close