Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

YAYASAN SOFA: Mencari 50,000 Pencinta Rasulullah SAW

Bulan Rabiulawal bertandang lagi yang membawa makna besar khususnya dalam kehidupan umat Islam yang mencintai Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW.

Kelahiran kekasih Allah ini membawa rahmat besar kepada makhluk sekalian alam sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya yang bermaksud: “Tidak kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam.”

Sehubungan itu, untuk menzahirkan rasa gembira dan bersyukur sebagai umat Nabi Muhammad, Yayasan Sofa mengajak umat Islam di negara ini menyertai komuniti 50,000 Pencinta Rasulullah dengan bersama melahirkan generasi pewaris Nabi untuk meneruskan perjuangan dakwah Baginda SAW.

Pelancaran Mencari 50,000 Pencinta Rasulullah SAW: Hadiah Buat Baginda Nabi berlangsung 1 Rabiulawal secara dalam talian dan dibuka selama 12 hari sehingga 19 Oktober ini iaitu pada hari sambutan kelahiran Rasulullah, 12 Rabiulawal.

Yang Dipertua Yayasan Sofa, Mohd Hanif Abdul Hamid berkata, walaupun hari kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah pada 12 Rabiulawal, tetapi aura kelahiran Baginda sepatutnya sudah mula dirasai sebaik sahaja memasuki bulan Rabiulawal.

“Kelahiran Baginda Nabi SAW sepatutnya disambut dengan rasa kesyukuran kerana kita dilahirkan sebagai umat Muhammad yang membawa kita mengenali Islam.

“Kelahiran Baginda Nabi disambut dengan kegembiraan oleh sekelian penghuni langit dan bumi, maka sewajarnya kita perlu lebih bergembira daripada mereka,” katanya.

Justeru itu, beliau mengajak seluruh umat Islam menyambut Bulan Kelahiran Agung dengan menzahirkan hadiah cinta buat Rasulullah iaitu berinfak kepada pembinaan Kompleks Islam As Sofa Mantau, di Negeri Sembilan yang bakal menempatkan penuntut ilmu al-Quran dan Hadis, bakal pewaris Nabi.

“Infak daripada 50,000 pencinta Rasulullah SAW ini akan disalurkan kepada pembinaan Kompleks Islam As Sofa yang bakal menempatkan kira-kira 3,000 penuntut ilmu.

“Bangunan kompleks di atas tanah seluas 2.7 hektar ini yang membabitkan kos RM55 juta, insya-Allah akan memulakan pembinaannya pada tahun depan dan dijangka siap pada 2025.

“Kompleks ini akan dilengkapi segala kemudahan sesuai dengan keperluan pendidikan penuntut ilmu yang bakal keluar ke dalam masyarakat untuk meneruskan dakwah Baginda SAW.

“Di sini akan terletaknya Maahad Tahfiz dan Turath, kampus tetap Kolej Islam As Sofa buat pelajar dalam serta luar negara.

“Juga surau yang mampu memuatkan kira-kira 5,000 jemaah, dewan canselori, bangunan pentadbiran, perpustakaan, dewan makan dan kafe serta penginapan untuk warga emas,” katanya.

Ia juga dilengkapi kemudahan asrama yang selesa, kelas berhawa dingin dan suasana persekitaran tenang dan mendamaikan sesuai sebagai pusat pengajian ilmu agama.

Malah, Mohd Hanif berkata, kompleks ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 penduduk sekitar Seremban yang ingin mempelajari ilmu agama dan mengikuti kulliah kerohanian yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Kita memang  tidak pernah bertemu Baginda SAW, namun perjuangan yang direntas Rasulullah sejak lebih 1400 tahun lalu hingga kini dalam menyebarkan dakwah Islamiah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Malah, perlu kita jaga, warisi dan  dikekalkan selama-lamanya.

“Sebab itu, kami mahu mengajak orang ramai mengambil peluang untuk bersama-sama membangunkan kompleks ini sejak daripada tanah kosong sehingga terdirinya bangunan kompleks.

“Bayangkan di sinilah anak-anak menghafaz al-Quran, mengaji kitab hadis serta mempelajari segala ilmu turath dan kita sebahagian daripada penyangga pembangunan tempat itu,” katanya.

Untuk mendaftar sebagai komuniti 50,000 Pencinta Rasulullah, orang ramai boleh mengimbas kod bar pada poster.

 

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Yayasan Sofa, 8601881873 atau  menghubungi talian 06-2230133/013 2412919 untuk maklumat lanjut, juga melayari laman web WWW.YAYASANSOFA.COM.MY atau facebook Yayasan Sofa. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close