Ekonomi Islam & Global

Ringgit dijangka kekal berdaya tahan, antara mata wang terbaik ASEAN – StanChart

Ringgit dijangka terus mengekalkan kedudukan sebagai antara mata wang berprestasi tinggi di rantau ini selain dolar Singapura, disokong asas ekonomi yang kukuh serta manfaat daripada peningkatan harga minyak meskipun berdepan kemungkinan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), menurut Standard Chartered Bank.

Ketua Bersama Penyelidikan Pertukaran Asing (FX) ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered, Divya Devesh, berkata ringgit dan dolar Singapura dijangka kekal berdaya tahan berikutan kedudukan ekonomi masing-masing, termasuk manfaat kenaikan harga minyak yang menyokong Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga.

“Bagi saya, dolar Singapura dan ringgit akan terus mencatatkan prestasi baik walaupun dalam persekitaran dolar AS yang lebih kukuh,” katanya pada sesi taklimat Tinjauan Global dan ASEAN Standard Chartered secara maya, hari ini.

Bagaimanapun, Devesh berkata mata wang ekonomi utama yang turut menjadi pengimport komoditi seperti India, Filipina dan Thailand dijangka berdepan prestasi lebih lemah berikutan kebergantungan tinggi terhadap import komoditi.

Menurutnya, sebarang pengukuhan dolar AS berpotensi meningkatkan tekanan terhadap mata wang negara berkenaan.

Menyentuh prospek serantau secara keseluruhan, beliau berkata risiko aliran keluar dana asing dalam jumlah besar daripada ASEAN kekal terhad berikutan ramai pelabur global masih mempunyai pendedahan yang rendah terhadap pasaran hutang dan ekuiti rantau itu.

Devesh berkata, ramai pelabur institusi ketika ini mengekalkan kedudukan pelaburan berlebihan di Amerika Selatan, selain mengehadkan pendedahan terhadap ASEAN sejak beberapa tahun kebelakangan ini tanpa banyak petunjuk perubahan dalam tempoh terdekat.

“Dari sudut positif, jika pelabur asing sememangnya berada pada kedudukan kurang pendedahan (pelaburan), risiko aliran keluar modal secara besar-besaran adalah terhad,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Pertukaran Asing ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered, Edward Lee, berkata ringgit secara asasnya kekal kukuh walaupun mengalami penurunan ketara sebelum ini.

Menurutnya, keadaan itu berpunca terutama daripada kedudukan pasaran serta aliran keluar portfolio sementara berkaitan pengimbangan semula indeks Morgan Stanley Capital International (MSCI), bukannya disebabkan kemerosotan asas ekonomi Malaysia.

“Secara meluas, kami menganggap ringgit sebagai positif kerana asas-asasnya yang kukuh, imbangan pembayaran yang terus meningkat… satu aspek yang tidak dilihat ramai adalah imbangan perkhidmatan Malaysia.

“Dalam tempoh tiga suku lepas, Malaysia telah mencatat lebihan selepas mengalami defisit selama hampir 14 tahun,” katanya.

Lee berkata perubahan berkenaan didorong peningkatan pendapatan sektor pelancongan serta perkembangan eksport berkaitan peluasan industri pusat data yang memberi sokongan tambahan kepada ekonomi Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia berjaya mengharungi krisis tenaga global dengan baik, dibantu subsidi bahan api yang berperanan sebagai penampan kepada pengguna daripada lonjakan harga tenaga selain menyokong aktiviti ekonomi secara menyeluruh.

Walaupun subsidi itu melibatkan kos tinggi, Lee berkata Malaysia masih berada pada kedudukan yang membolehkannya mengekalkan kemudahan berkenaan, sekali gus memberi kestabilan terhadap perbelanjaan isi rumah dan ekonomi secara keseluruhan.

Beliau berkata Malaysia juga antara beberapa ekonomi yang masih berkeupayaan menyediakan subsidi berkenaan ketika ini.

Lee menjangkakan Malaysia mencatat pertumbuhan kira-kira 4.5 peratus pada 2026, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan, sektor pembuatan yang kukuh serta pertumbuhan industri pusat data walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Di peringkat global, Ketua Penyelidikan Global dan Ketua Strategi Standard Chartered, Eric Robertsen, berkata bank itu menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi dunia bagi 2026 kepada 3.0 peratus daripada 3.4 peratus, terutama susulan kesan konflik di Asia Barat.

“Sebahagian besar daripada semakan turun itu adalah paparan apa yang telah berlaku. Unjuran bagi separuh kedua tahun ini turut bergantung kepada beberapa faktor.

“Pertama, faktor penyumbang kepada daya tahan ekonomi global. Sebahagian besarnya akan dipacu oleh prestasi kukuh eksport berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang terbukti menyumbang kepada momentum pertumbuhan ekonomi di Asia serta daya tahan ekonomi AS,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close