Kedai Runcit

Serangan siber ganggu operasi pasar raya di sembilan negara Eropah

Serangan siber yang disyaki menyasarkan pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah menyebabkan sistem penyejukan di beberapa premis terganggu sehingga makanan terpaksa dibuang.

Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa serangan itu dipercayai dilakukan dengan sengaja untuk mengganggu bekalan makanan dan menjejaskan keyakinan pengguna.

Pasar raya di Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden melaporkan masalah sistem penyejukan selepas suhu peti sejuk meningkat sepanjang malam.

Akibatnya, beberapa pasar raya terpaksa membuang makanan yang rosak dan tidak lagi selamat dijual.

Kejadian itu berlaku tiga minggu selepas serangan siber turut mengganggu operasi pasar raya di Perancis sehingga ratusan cawangan terpaksa membuang stok makanan yang rosak.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan berkenaan.

Pesuruhjaya Makanan dan Pertanian EU, Christophe Hansen, berkata pihaknya memandang serius kejadian itu kerana boleh menjejaskan bekalan makanan di rantau berkenaan.

“Serangan ini adalah cubaan sengaja untuk mengganggu rantaian bekalan makanan dan menjejaskan keyakinan pengguna terhadapnya. Ini amaran yang perlu kita ambil serius,” katanya.

Di Itali, sekurang-kurangnya empat pasar raya Coop di Sicily dan sebuah premis perniagaan di Tuscany terjejas, menurut laporan media dan agensi keselamatan siber negara itu.

Kerajaan Itali dijadual mengadakan mesyuarat keselamatan siber bersama agensi perisikan pada Selasa.

Ketua Kumpulan Radenza yang menguruskan pasar raya Coop, Giuseppe Spadaro, berkata serangan itu berlaku kira-kira jam 4 pagi.

“Serangan itu menyasarkan sistem kawalan jarak jauh bagi bahagian makanan sejuk beku di premis kami,” katanya kepada agensi berita Itali, ANSA.

Beliau berkata masalah berkenaan sudah berjaya diatasi.

Belgium antara negara paling teruk terjejas apabila puluhan pasar raya daripada beberapa rangkaian melaporkan kerosakan sistem penyejukan. Pendakwa raya persekutuan negara itu turut membuka siasatan.

Jurucakap Carrefour Belgium, Mich Vergauwen, berkata kira-kira 15 daripada 700 cawangannya mengalami gangguan akibat serangan siber.

“Ini serangan siber, tiada sebab lain,” katanya.

IKEA turut mengesahkan cawangannya di Mons diserang sehingga menyebabkan suhu peti sejuk beku meningkat.

Syarikat penyejukan Belgium, Sabcobel, berkata pihaknya sudah mengambil langkah keselamatan tambahan selepas serangan di Perancis pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, beberapa sistem masih belum dinaik taraf dan turut terjejas dalam serangan pada Isnin.

Rangkaian pasar raya Delhaize, Colruyt dan Intermarche turut melaporkan masalah sistem penyejukan di Belgium, manakala empat cawangan Delhaize di Luxembourg turut terjejas.

Di Ireland, peruncit Musgrave berkata 13 cawangan pasar raya SuperValu terjejas akibat serangan siber.

Beberapa kedai kecil di Belanda turut mengalami gangguan.

Di Portugal, kumpulan Mosqueteiros mengesahkan tujuh cawangan Intermarche terjejas akibat serangan siber yang dipercayai menyasarkan syarikat luar yang menguruskan sistem penyejukan mereka.

Di Sweden, Coop mengesahkan enam daripada kira-kira 800 cawangannya turut menjadi sasaran.

Jurucakap Coop, Carlos Cancino, berkata masalah itu sudah diatasi dan semua peti sejuk serta peti sejuk beku kembali berfungsi seperti biasa.

“Kami mengesahkan kejadian ini adalah insiden siber. Masalah sudah diselesaikan dan semua peti sejuk serta peti sejuk beku beroperasi seperti biasa,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata pihaknya belum mengetahui siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Bagaimanapun, siasatan mendapati cawangan yang terjejas menggunakan rangkaian mudah alih 4G dan bukannya 5G yang lebih baharu, menyebabkan sistem mereka lebih mudah terdedah kepada serangan penggodam. – AFP

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close