Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melantik Abdul Hakim Amir Zainol sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) baharunya, berkuat kuasa 12 November 2025.
Abdul Hakim mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam pengurusan kewangan dan strategik, terutamanya di pasaran antarabangsa.
Pendedahan global beliau merangkumi kawalan kewangan, pengurusan perbendaharaan, perancangan strategik dan pematuhan kawal selia, membekalkan beliau perspektif menyeluruh dalam tadbir urus serta transformasi kewangan.
Sebagai CFO KWAP, Abdul Hakim akan menerajui strategi kewangan dan tadbir urus organisasi, memacu ketahanan fiskal, ketelusan serta penjajaran dengan misi jangka panjang KWAP untuk membina masa depan persaraan yang mampan bagi penjawat awam Malaysia.
“Visi dan ketajaman kewangannya akan menyokong usaha kami memperkukuh pengurusan kewangan serta mengembangkan matlamat pelaburan dan kemampanan KWAP,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum menyertai KWAP, beliau berkhidmat di Kumpulan Cagamas, di mana beliau memegang jawatan CFO sebelum dilantik sebagai Ketua Perniagaan.
Beliau juga pernah memegang peranan kepimpinan kanan di United Kingdom (UK), termasuk di C. Hoare & Co., bank tertua di negara itu serta Aldermore Bank.
Kerjayanya bermula di KPMG dan Ernst & Young, dengan pengkhususan dalam audit dan jaminan.
Beliau adalah Felo Association of Chartered Certified Accountants (FCCA), Felo Association of Corporate Treasurers (FCT), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan memiliki ijazah dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics serta Ijazah Sarjana Sloan dalam Kepimpinan dan Strategi dari London Business School. – BH ONLINE




