Dimensi BisnesPilihan Editor

Grab, Kerajaan Negeri Selangor Perkasakan PLATS 2.0 Membolehkan Perniagaan Tradisional Memasarkan Produk Menerusi “Online”

Platform teknologi tempatan Grab meneruskan kerjasama dengan kerajaan Selangor bagi menarik lebih banyak perniagaan untuk turut serta dalam ekonomi digital.

Inisiatif Platform Selangor 2.0 (PLATS 2.0) membolehkan perniagaan tradisional memasarkan produk menerusi saluran dalam talian.

Grab akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Selangor untuk menyediakan sokongan penghantaran kepada pedagang PLATS melalui GrabExpress.

Ketua GrabExpress Malaysia, Zafira Azahar, berkata syarikat itu berbangga kerana menjadi sebahagian daripada inisiatif itu.

“Kami menggalakkan perniagaan untuk mendakap ekonomi digital bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Kami juga terbuka untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak lain untuk menggunakan teknologi dan rangkaian kami untuk membantu peniaga menyertai ekonomi digital agar tiada yang ketinggalan,” katanya.

Pada majlis pelancaran PLATS 2.0 semalam, Menteri Besar Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan untuk menyokong agenda pendigitalan Selangor.

“Covid-19 memaksa kita menjadi lebih kreatif dalam mencipta ruang dan peluang serta mempercepat proses pendigitalan,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Selangor menyasarkan lebih ramai peniaga menyertai program e-Dapur seiring perkembangan era pendigitalan.

Menteri Besar berkata program menerusi PLATS 2.0 itu tidak hanya berjalan ketika Ramadan sebaliknya setiap masa bagi membantu peniaga menjana pendapatan.

“Kita akan libatkan kedai makan, restoran serta peniaga tepi jalan untuk berniaga dalam talian. Inilah cara hidup baharu lepas pandemik ini.

“Setakat ini 300 peniaga sudah mendaftar. Tahun lalu kita ada 14,000 peniaga berlesen jadi kita harap mereka akan ambil peluang ini untuk pasarkan produk dan jualan,” katanya lagi.

Menurut Amirudin, e-Dapur akan meneruskan kerjasama dengan Grab Express selain bantuan dari Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) supaya urusan berjalan lancar.

“Tahun lalu kita sediakan tempat seperti dewan untuk peniaga tetapi tahun ini pihak berkuasa tempatan (PBT) akan siapkan (lokasi).

“Majlis akan bantu peniaga supaya produk dan jualan peniaga dapat dibekalkan kepada orang awam,” katanya.

E-Dapur diperkenalkan April tahun lalu bagi membantu usahawan meneruskan perniagaan dalam talian berikutan operasi bazar Ramadan tidak dibenarkan.

Langkah itu berjaya membantu 160 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM1.5 juta. – FMT/SELANGOR KINI/BACALAHMALAYSIA.MY/PIC SINAR HARIAN

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close