Sime Darby Plantation Bhd (SDP) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas sebagai Pengerusi Bukan Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas berkuat kuasa esok.
Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, SDP juga mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Ghani Othman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas berkuat kuasa hari ini.
Menurut SDP, Megat Najmuddin adalah Pengerusi Asian Pac Holdings Bhd, SEG International Bhd, Green Venture Capital Sdn Bhd, Ulink Ascot Sdn Bhd dan Institut Pengurusan Malaysia.
Megat juga ialah Presiden Federation of Public Listed Companies Bhd, kata SDP.
“Megat Najmuddin sebelum ini sudah memegang banyak jawatan penting di sektor awam dan swasta,” kata pengumuman itu.
Menurut SDP, dia sebelumnya adalah Pengarah Petronas selain daripada Pengerusi Omesti Bhd, Tradewinds Corp Bhd dan Majuperak Holdings Bhd.
SDP berkata, Megat juga adalah anggota Majlis Perundingan Ekonomi Nasional 2 dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat Bank Negara Malaysia selain penaung kehormat Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia yang mana beliau menjadi Presiden dari 1998 hingga 2015. – BERITA HARIAN