Volvo Car Malaysia terus memacu gelombang sukan raket paling pesat berkembang ini ke tahap baharu menerusi penganjuran semula Volvo Padel Open 2026.

Kembali menghangatkan arena untuk edisi ketiga yang cukup bersejarah sepanjang Oktober ini, kejohanan padel paling ditunggu di Malaysia ini tampil lebih berani dan bertenaga – memperkenalkan format perlawanan baharu, lapisan kategori kemahiran yang lebih menyeluruh, serta menyasarkan kehadiran lebih ramai pemain.
Sebagai satu anjakan istimewa, edisi 2026 mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada nadi akar umbi sukan ini – mengangkat komuniti yang memacu lonjakan fenomena padel di Malaysia terus ke pentas utama.
Melangkah lebih jauh daripada sekadar format kejohanan individu konvensional, tema tahun ini meraikan semangat setiakawan dan kebersamaan kelab-kelab tempatan.

Komuniti berdedikasi inilah yang menghidupkan budaya gelanggang setiap hari – daripada perlawanan santai, pukulan rali yang dikongsi, sehinggalah mengubah sukan baharu ini menjadi satu pergerakan gaya hidup serba moden di seluruh negara.
Mengambil alih gelanggang pada 23 hingga 25 Oktober, lapan komuniti padel tersohor bakal menghimpunkan barisan pemain terbaik mereka untuk berentap dalam persaingan sihat demi merebut ganjaran lumayan serta takhta komuniti paling berprestij.
Kelab-kelab yang bersedia menyahut cabaran membawa warna dan identiti masing-masing ke gelanggang termasuklah All’Bout Padel, Baby Buaya Posse, Jerung Padel Club, Kelab Padel Pop x ABBT, Padé x LGK, Padel Hood, Padel Pushers x APC, dan Wolfpack Padel.
Patricia Yaw, Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia berkongsi: “Edisi ketiga ini membawa makna yang sangat mendalam buat kami tatkala sukan padel terus mekar menjadi pilihan ramai.
“Ketika meraikan kejayaan Malaysia di Sukan Asia baru-baru ini, kami terpandang satu temu bual bersama seorang atlet yang memulakan langkah awalnya di pentas Volvo Padel Open.
“Mengimbau kembali detik itu mengingatkan kami kepada matlamat asal penganjuran sejak tahun 2023 untuk terus mengangkat martabat sukan ini. Tahun ini, kami menggerakkannya menerusi komuniti setempat, kerana merekalah degup jantung sebenar di peringkat akar umbi yang menyuburkan pertumbuhan ini.”
Lonjakan Budaya Padel di Malaysia
Perkembangan padel di Malaysia kini melakar momentum yang cukup luar biasa.
Apa yang dahulunya sekadar aktiviti santai hujung minggu kini bertukar menjadi arena kompetitif yang kian disegani, dipahat kukuh oleh kejayaan kilauan pingat negara di persada antarabangsa baru-baru ini.
Seiring bakat tempatan yang kian matang, kejohanan berteraskan komuniti seperti ini menjadi medan ujian terbaik untuk mencungkil dan mengasah barisan atlet pelapis generasi seterusnya.
Shafique Iqbal, Presiden Selangor Padel Association berkata: “Ketika padel mula menjejakkan kaki di Malaysia, tidak ramai yang dapat membayangkan gandingan negara bakal berdiri di atas podium Sukan Asia.
“Namun hari ini kita membuktikannya menerusi kejayaan perak bersejarah di Nagoya. Langkah seterusnya adalah mencari dan melatih bakat-bakat baharu yang bakal menyambung legasi ini. Kejohanan seperti Volvo Padel Open memainkan peranan penting kerana ia menyediakan saingan sebenar buat pemain di setiap peringkat, dan dari situlah masa depan sukan padel Malaysia bermula.”
Mendapat pengiktirafan rasmi daripada Selangor Padel Association, Volvo Padel Open 2026 menaik taraf saingan akar umbi menjadi sebuah festival gaya hidup penuh sofistikasi.
Kejohanan ini dianjurkan secara kolaboratif bersama barisan rakan kerjasama strategik: agensi media Invictus Blue, inovator rangkaian mudah alih redONE, serta jenama padel terkemuka Sepanyol, Tactical Padel. Acara ini turut disokong oleh agensi digital Dox Digital, jenama penjagaan kulit SKINTIFIC, jenama kopi premium NESCAFÉ GOLD, Padé Langkawi, dan rumah produksi Directors Think Tank.
Farid Yunos dari redONE Malaysia menyatakan: “Sukan sentiasa memiliki pesona tersendiri dalam menyatukan masyarakat. Padel, dengan teras permainannya yang menekankan semangat berkomuniti, cukup serasi dengan nilai utama kami di redONE iaitu ketersambungan.
“Menyokong Volvo Padel Open memberi ruang untuk kami berkongsi detik indah di dalam mahupun di luar gelanggang, sama ada ketika berdepan kekalahan atau meraikan kemenangan. Kami teruja dapat menghubungkan komuniti padel di seluruh negara dan menyaksikan kejohanan ini mekar menjadi acara yang lebih berprestij saban tahun.”
Jerome Dubuc dari Tactical Padel berkongsi: “Sejak awal kemunculan padel di Malaysia, Tactical Padel sentiasa menjadi sebahagian daripada evolusinya.
“Daripada sebuah komuniti yang kecil, ia kini berkembang menjadi satu budaya sukan yang sangat dinamik. Kami percaya padel adalah ruang di mana prestasi, gaya, dan ketepatan bersatu, menjadikan peralatan yang tepat sebagai cerminan personaliti aksi anda di gelanggang. Atas dasar itulah kami tidak pernah berkompromi dari segi kualiti dan rekaan.
“Kerjasama kami bersama Volvo Padel Open mencerminkan visi bersama: menyatukan saingan bertaraf tinggi, pemain berjiwa besar, dan komitmen padu terhadap masa depan padel di Malaysia.”
Chan Kok Heo, Pengarah Jualan SKINTIFIC berkata: “Bagi kebanyakan pemain, fasa persiapan diri serta pemulihan selepas beraksi adalah sama pentingnya dengan waktu mereka di gelanggang.
“Kami bekerjasama dengan Volvo Padel Open kerana kami melihat penjagaan kulit sebagai sebahagian daripada rutin gaya hidup aktif ini. Padel menuntut ketangkasan fizikal yang tinggi, dan peranan kami adalah memastikan setiap pemain kekal selesa dan yakin agar fokus mereka tertumpu sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik.”
Khoo Sui Ying, Pengurus Pemasaran Pengguna NESCAFÉ berkongsi: “Setiap aksi hebat bermula dengan detik persiapan yang tenang. NESCAFÉ GOLD meraikan detik jeda bermakna yang membantu setiap individu menyegarkan diri, memusatkan fokus, dan beraksi pada tahap optimum. Menerusi kerjasama kami bersama Volvo Padel Open, kami membawakan pengalaman kopi artisan premium buat para peserta sebelum bermulanya pukulan servis pertama.”
Kategori Volvo Padel Open 2026

Bagi menjamin saingan yang adil dan sengit buat penggemar rekreasi mahupun pemain kompetitif, Volvo Padel Open 2026 membawakan lima kategori kemahiran merangkumi divisyen Lelaki dan Wanita:
- Low Bronze (Lelaki & Wanita)
- High Bronze (Lelaki & Wanita)
- Low Silver (Lelaki & Wanita)
- Mid Silver (Lelaki & Wanita)
- Gold (Lelaki & Wanita)
Yuran penyertaan diselaraskan pada RM200 untuk setiap pemain atau RM400 bagi setiap pasukan untuk semua kategori.
Mencerminkan pendekatan yang mengutamakan komuniti, setiap kategori ini menjadi medan pertembungan eksklusif buat lapan kelab terpilih yang masing-masing akan mempertaruhkan barisan 40 pemain terbaik mereka.
Sementara peserta kategori Silver dan Gold didaftarkan terus oleh kelab masing-masing, peserta kategori Bronze telah membuktikan kehebatan mereka menerusi pusingan kelayakan komuniti yang sengit untuk merebut slot ke pusingan akhir ini.
Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk bersama-sama meraikan kejohanan padel terbesar di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai Volvo Padel Open, layari www.volvocars.com/my atau ikuti perkembangan Volvo Car Malaysia di Facebook menerusi bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di bit.ly/VolvoMY-IG. – BACALAHMALAYSIA.MY




