Laporan penyelidikan terbaharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan realiti kos sara hidup di negara ini menerusi pemerhatian terperinci terhadap data pengeluaran kewangan ahli.
Secara keseluruhan, hampir lima juta ahli di bawah umur 55 tahun telah membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran dari Akaun Fleksibel. Ia merekodkan jumlah terkumpul mencecah RM16.6 bilion sejak Mei 2024 sehingga Oktober tahun lalu.
Berdasarkan laporan penyelidikan rasmi KWSP, perbelanjaan untuk keperluan harian mencatatkan kategori tertinggi dengan 93 peratus penggunaan dana.
Daripada jumlah itu, 70.3 peratus responden menggunakan pengeluaran itu khusus untuk membeli makanan dan barangan asas.
Laporan itu menegaskan kemudahan Akaun Fleksibel berfungsi sebagai penampan penting dalam menjamin kesejahteraan rakyat ketika berdepan tekanan kewangan.
“Pengeluaran sangat dikaitkan dengan memenuhi keperluan kewangan segera dan dilihat secara meluas sebagai talian hayat kewangan yang boleh diharap di tengah peningkatan kos sara hidup,” menurut dapatan laporan berkenaan.

18.3 peratus untuk gaya hidup
Dapatan itu turut menepis stigma pengeluaran dibuat untuk tujuan tidak penting, apabila hanya 18.3 peratus ahli menggunakan dana bagi perbelanjaan gaya hidup.
Selain makanan, tekanan kewangan turut terserlah menerusi keperluan rawatan perubatan dan pembayaran hutang. Perbelanjaan kesihatan menjadi tujuan kedua tertinggi membabitkan 58.7 peratus responden, diikuti pembayaran hutang sebanyak 56.6 peratus.
Golongan berusia antara 40 hingga 49 tahun mencatat peratusan tertinggi dalam penggunaan dana bagi melunaskan hutang, iaitu 61.7 peratus, selari dengan fasa kemuncak komitmen kewangan isi rumah.
Dari sudut trend, pengeluaran memuncak pada Mei 2024 dengan 2.6 juta ahli mengeluarkan RM6.01 bilion sebelum kembali stabil kepada purata 1.3 juta ahli sebulan.
Walaupun pengeluaran dilakukan untuk kelangsungan hidup, tahap kesedaran terhadap simpanan masa depan kekal tinggi apabila 72.4 peratus responden menyatakan hasrat menyimpan semula dana berkenaan.

Simulasi jangka panjang menunjukkan risiko terhadap simpanan persaraan, khususnya kehilangan faedah kompaun.
Sebagai contoh, pencarum berpendapatan RM1,700 yang kerap mengeluarkan dana berpotensi melihat baki simpanan menyusut kepada RM729,000 berbanding RM768,000 tanpa pengeluaran.
Data ini menggambarkan pengeluaran Akaun Fleksibel bukan bertujuan kemewahan, sebaliknya mencerminkan realiti tekanan ekonomi yang dihadapi majoriti rakyat. – BH ONLINE




