Malaysia

Pemecatan salah: Bekas pembantu juruterbang AirAsia diberi pampasan, tunggakan gaji RM147,400

Mahkamah Rayuan memberikan pampasan dan tunggakan gaji sebanyak RM147,400 kepada bekas pembantu juruterbang AirAsia Berhad (AAB) yang dipecat secara salah semasa penularan pandemik COVID-19 pada 2020.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azmi Ariffin, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan How Zheng Hong untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakimannya.

Azmi yang mempengerusikan panel itu, menganugerahkan jumlah itu merangkumi gaji tertunggak selama 24 bulan dan pampasan sebagai ganti pengembalian jawatan.

Mahkamah turut mengambil kira pembayaran sebelum ini sebanyak RM16,500 yang dibuat AAB sebagai pampasan bagi pemberhentian kerja dan RM23,100 untuk pendapatan selepas pemecatan.

Beliau berkata, prinsip entiti undang-undang berasingan memerlukan kedudukan kewangan anak syarikat dinilai berdasarkan meritnya sendiri dan tidak diambil daripada syarikat induk.

Mahkamah turut mengarahkan AAB, perkhidmatan pesawat tambang murah yang juga anak syarikat sepenuhnya milik AAGB, membayar kos sebanyak RM50,000.

AAGB kini dikenali sebagai Capital A Berhad.

Azmi berkata, kebergantungan AAB terhadap rekod cuti sakit Zheng Hong sebagai asas pemberhentian kerja adalah tidak adil secara asasnya dan terjumlah kepada penyimpangan daripada prinsip last-in, first-out atau “yang terakhir masuk, yang pertama keluar.”

“Penuntut secara kontrak berhak mendapat cuti sakit selama 22 hari setahun. Mengambil cuti sakit apabila tidak sihat bukanlah satu kelemahan dari segi prestasi, sebaliknya keperluan keselamatan kerana bagi juruterbang, mereka wajib berada dalam keadaan sihat sebelum menerbangkan pesawat.

“Penilaian prestasi yang rendah sebelum ini telah dijadikan senjata secara retroaktif (oleh majikan) untuk mewajarkan pemecatan penuntut dan Mahkamah Perusahaan serta Mahkamah Tinggi telah terkhilaf menerimanya alasan yang sah,” katanya.

Azmi berkata, Zheng Hong tampil dengan penyelesaian yang munasabah dan berniat baik iaitu secara sukarela menawarkan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama dua tahun bagi menyelamatkan pekerjaannya.

Beliau berkata, ia satu cadangan daripada seorang pekerja setia selama hampir 11 tahun yang sanggup mengorbankan diri berkhidmat tanpa sebarang bayaran bagi membantu syarikat mengharungi krisis ketika itu.

Zheng Hong menyertai AAB pada 2009, namun diberhentikan pada Jun 2020 dan pada 15 Mei 2023, Mahkamah Perusahaan menolak tuntutannya dengan memutuskan bahawa AAB berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa pemecatan Zheng Hong adalah dengan alasan dan sebab yang wajar.

Zheng Hong kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan serta pampasan sebagai ganti pengembalian jawatan.

Bagaimanapun pada 3 Oktober 2024, Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman Zheng Hong menyebabkan beliau merayu ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Lai Chee Hoe, yang mewakili Zheng Hong memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya kini bekerja sebagai juruterbang di syarikat lain.

Beliau berkata, selepas diberhentikan kerja, Zheng Hong menjadi pemandu e-panggilan.

AAB mendakwa sebab Zheng Hong diberhentikan ialah kerana kesulitan dari segi kewangan memandangkan syarikat penerbangan itu mengalami kerugian susulan sekatan perjalanan dan kawalan sempadan yang mengurangkan permintaan bagi perjalanan udara, selain penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Yang turut mewakili Zheng Hong ialah peguam Deyvinah Ganesalingam dan Low Yen Hau, manakala Wendy Lam Mei Kuan serta Wong Jia Ee bertindak bagi pihak AAB. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close