MalaysiaPilihan Editor

RUU Akta Jalan: Tiada Lagi Alasan ‘Saya Tidak Tahu Anak Di Mana’

Tiada ibu-bapa di negara ini boleh lagi memberi alasan ‘saya tidak tahu’ atau lepas tangan dengan mudah sekiranya hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara maksimun setahun dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dikuatkuasakan.

Ahli Lembaga Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang juga Timbalan Pengerusi Ikatan Selamat Komuniti, Prof Dr Wong Shaw Voo, berkata RUU yang dibentangkan di Parlimen semalam itu, adalah langkah tepat untuk mengelakkan sebarang kecuaian atau kemalangan di jalan raya.

Katanya, RUU itu adalah untuk memastikan setiap ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab terhadap anak mereka malah memainkan lebih peranan dalam mengawal tindak-tanduk yang boleh mengakibatkan risiko di jalan raya.

“Anak-anak yang terbabit dalam kemalangan jalan raya masih belum dewasa, jadi siapa yang perlu bertanggunggjawab terhadap ‘kerosakan’ dan ‘kemudaratan’ yang terjadi.

“Ia sebenarnya lebih kepada untuk mengembalikan peranan sebagai penjaga, kerana mereka perlu menjaga dan tidak boleh kata ‘saya tidak tahu berada’ atau ‘saya tidak tahu aktiviti anak’ ketika kecelakaan terjadi.

“Ibu-bapa perlu bertanggungjawab dan tidak lepas tangan begitu sahaja kerana tindakan berada di atas jalan raya tanpa fungsi asal adalah membahayakan keselamatan awam,” katanya bekas Ketua Pengarah MIROS itu kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dalam RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat, ibu bapa atau penjaga remaja berusia 18 tahun ke bawah berdepan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara maksimum setahun, jika anak mereka disabit kesalahan menunggang basikal lajak sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Hukuman sama turut diperuntukkan kepada ibu bapa atau penjaga jika anak mereka disabit kesalahan penggunaan kenderaan mikromobiliti lain menerusi pindaan terhadap Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut, Ketua Kluster Penyelidikan Kejuruteraan Kenderaan dan Mobiliti, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, kenderaan mikromobiliti seperti basikal elektrik, basikal lajak, papan selaju dan skuter kecil tidak seharusnya berada di atas jalan raya kerana ia tidak direka untuk penggunaan sedemikian.

“Kita harus tahu, kebanyakan kenderaan mikromobiliti ini bertujuan untuk memudahkan pejalan kaki dan ia juga terhad digunakan di kawasan-kawasan tertentu sahaja seperti laluan pejalan kaki.

“Apabila ia digunakan di atas jalan raya, adakah fungsinya menyamai motosikal atau kereta. Jika ya, adakah standard seperti kelajuan dan brek adalah sama,” katanya.

Beliau berkata, dunia kini berdepan dengan perubahan teknologi yang canggih sehingga mengeluarkan pelbagai jenis kenderaan untuk menyenangkan pergerakan.

“Semua pihak kena ingat, sesuatu yang dibina mempunyai fungsi dan undang-undang tersendiri termasuklah jalan raya yang dibina dengan spesifikasi dan keselamatan tertentu. Ia tidak berfungsi untuk tujuan perlumbaan sebaliknya untuk memudahkan pengangkutan serta pergerakan,” katanya.

Katanya, RUU yang dibentangkan di Parlimen itu adalah langkah yang tepat kerana ia mendidik orang ramai untuk sentiasa mementingkan keselamatan dan hukuman setimpal perlu dikenakan sekiranya mereka melakukan kesalahan. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close