Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan pelantikan untuk menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai satu amanah yang besar.
Beliau berkata ini memandangkan negara sedang menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan serta perkembangan teknologi yang pesat.
“MITI memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya dalam kenyataan. – BERNAMA




