Duniaku TeknokratPilihan Editor

Bank Rakyat Umum Dividen 15 Peratus

Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, menyamai kadar dividen pada tahun kewangan sebelumnya.

Jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM426.77 juta kepada 799,511 anggotanya dan pembayaran dividen itu akan dilakukan hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh lebih 30 tahun.

Katanya, beliau percaya pencapaian itu adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat untuk mencapai mandat yang dipertanggungjawab bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.

“Saya berharap dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota dalam mengharungi pascapandemik COVID-19 di samping membantu anggota dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Yang turut hadir Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Dalam pada itu, Mohd Irwan berkata, Kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak RM1.70 bilion berbanding RM1.63 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, meskipun ketidaktentuan ekonomi susulan pasca pandemik.

“Prestasi kewangan tahun 2022 ini turut didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan Kumpulan, mencerminkan kekuatan dan daya tahan yang telah dibina oleh kumpulan sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Di samping itu, peruntukan penjejasan yang mencukupi pada tahun semasa, sejajar dengan aliran industri juga telah meningkatkan prestasi kumpulan.

“Pencapaian ini turut didorong oleh pendapatan operasi kumpulan yang meningkat sebanyak 3.42 peratus kepada RM5.90 bilion berbanding RM5.71 bilion sebelum ini didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dalam segmen perbankan runcit dan perniagaan, serta dibantu oleh pergerakan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Kumpulan turut berjaya mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang efisien, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 39.79 peratus, iaitu lebih rendah daripada purata industri, 44.20 peratus,” katanya.

Beliau menambah, jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 1.98 peratus atau RM2.27 bilion kepada RM117.33 bilion berbanding RM115.06 bilion pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan berterusan ini didorong terutamanya oleh peningkatan positif pembiayaan kasar dan pertumbuhan bersih aset perbendaharaan selari dengan strategi kumpulan sepanjang tahun.

“Manakala, pulangan atas aset (ROA) meningkat kepada 1.45 peratus daripada 1.40 peratus, sejajar dengan aliran industri,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close