Duniaku TeknokratPilihan Editor

Kerugian Bersih Pos Malaysia Meningkat Kepada RM27.01 Juta

Kerugian bersih Pos Malaysia Bhd untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2023 meningkat kepada RM27.01 juta daripada RM5.25 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan bagi suku dalam tinjauan menurun kepada RM465.20 juta berbanding RM517.26 juta sebelumnya.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan bagi segmen pos susut 16 peratus untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023, disumbangkan oleh kejatuhan dalam perniagaan kurier berikutan penurunan jumlah keseluruhan bungkusan daripada pelanggan kontrak.

“Selain itu, pemain e-dagang utama telah memanfaatkan keupayaan penghantaran sumber mereka manakala pemain antarabangsa meneruskan strategi penembusan untuk menguasai bahagian pasaran yang lebih tinggi dalam perniagaan kurier,” katanya.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh perniagaan pengurusan kargo (terutamanya daripada penghantaran barang) dan logistik automotif.

“Segmen logistik memberikan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.2 juta berbanding kerugian sebelum cukai berjumlah RM11.7 juta pada tempoh kewangan lepas atas hasil yang lebih tinggi manakala kos dikekalkan,” katanya.

Sementara itu , segmen penerbangan menyumbang lonjakan hasil sebanyak RM141.4 juta terutamanya daripada peningkatan perniagaan katering dalam penerbangan dan pengendalian darat.

“Ini berikutan pertambahan dalam jumlah makanan untuk penerbangan komersil serta berkaitan umrah, manakala lonjakan jumlah penerbangan yang dikendalikan menyumbang secara positif kepada hasil pengendalian darat.

“Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai susut kepada RM2.9 juta akibat tanggungan kos yang lebih tinggi bagi menyokong pertumbuhan dalam transaksi,” katanya.

Segmen lain, yang merangkumi percetakan serta sisipan, sijil digital dan Ar-Rahnu, mencatatkan pendapatan RM88 juta dalam tempoh berkenaan, menokok 35 peratus berbanding tahun lalu, disumbangkan terutamanya oleh Ar-Rahnu.

Secara keseluruhan, Pos Malaysia berkata industri akan terus menghadapi cabaran, termasuk persaingan yang semakin bertambah, peningkatan kos operasi dan ancaman keselamatan siber.

“Kumpulan itu komited sepenuhnya untuk mengukuhkan prestasi kewangannya dengan menerima teknologi digital, meningkatkan perjalanan pelanggan, selain memperjuangkan kemampanan demi masa depan yang lebih hijau dan bersih. Tumpuan utama kami adalah untuk mewujudkan model perniagaan yang mengutamakan kebajikan pekerja, pelanggan dan alam sekitar,” tambahnya lagi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer berkata syarikat itu beroperasi dalam persekitaran yang sangat mencabar serta akan terus mengharungi cabaran tersebut dengan memberi tumpuan kepada kos berubah, rasionalisasi rangkaian dan aliran kerja komersialnya.

“Melangkah ke hadapan, dengan cabaran yang mungkin akan berterusan, kami optimis tetapi berhati-hati dan menjangkakan keputusan yang lebih baik untuk kumpulan pada 2023,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close