Dimensi BisnesPilihan Editor

MR D.I.Y. Catat Keuntungan Luar Biasa

MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y.) mencatatkan prestasi kewangan suku tahunan terbaiknya setakat ini dengan keuntungan bersih melonjak 113 peratus kepada RM124.8 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021.

Pendapatannya dalam suku dikaji pula melonjak 63 peratus kepada RM870.2 juta berbanding suku sama tahun lalu.

Keputusan kewangan lebih baik pada suku dikaji itu didorong purata jualan bulanan setiap cawangan yang lebih tinggi, selain angka jualan lebih rendah semasa suku perbandingan tahun lalu disebabkan sekatan pergerakan yang dikenakan antara 18 hingga 31 Mac 2020.

Peningkatan prestasi itu juga hasil sumbangan positif daripada cawangan baharu, dengan rangkaian gedungnya meningkat daripada 628 pada suku pertama 2020 kepada 788 pada suku pertama 2021.

Selain itu, jumlah urus niaga bagi suku dikaji meningkat 21.7 peratus daripada 24.6 juta kepada 29.9 juta.

Sehubungan itu juga, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi RM170.7 bagi suku pertama 2021, peningkatan 108 peratus berbanding suku pertama 2020.

“Setakat 31 Mac 2021, jumlah gedung mencecah 788, merangkumi 713 cawangan MR D.I.Y., 39 cawangan MR TOY dan 36 cawangan MR DOLLAR.

“Kumpulan menyasar untuk membuka 121 lagi cawangan merantasi tiga jenama ini pada 2021,” katanya.

Sejajar dengan polisi kumpulan untuk membayar dividen suku tahunan, MR D.I.Y. mengisytiharkan dividen sebanyak RM50.2 juta bagi suku pertama 2021.

Aliran tunai dan lembaran imbangan kumpulan juga kekal kukuh.

Aliran tunai bersih daripada operasi berkembang kepada RM221.4 juta pada suku pertama 2021, manakala nisbah gearan bersih kumpulan berada pada 0.04 kali.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong, berkata ia adalah prestasi suku kewangan paling mantap kumpulan setakat ini dan ia hasil daripada beberapa faktor.

“Tonggaknya adalah janji kami untuk nilai pada ketika pelanggan sensitif dengan impak semasa terhadap dompet mereka.

“Rangkaian gedung kami terus berkembang, menjadikannya lebih mudah diakses kepada pelanggan yang dihadkan oleh perintah pergerakan berkaitan pandemik.

“Tawaran produk berkembang kepada kira-kira 18,000 unit simpanan stok (SKU) hari ini dan kami melabur untuk mengukuhkan platform e-dagang selain menguruskan kecekapan. Inilah pencetus strategi pertumbuhan kami yang terus menghasilkan keputusan mantap,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close