Duniaku Teknokrat

SME Bank lulus RM4.3 bilion pembiayaan bantu usahawan tahun lalu

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) meluluskan pembiayaan sekitar RM4.3 bilion pada 2025, meningkat 19 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan permintaan kukuh dalam sektor strategik perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Jumlah itu termasuk kira-kira RM3.8 bilion yang disalurkan kepada PMKS, meningkat sekitar 20 peratus, sejajar usaha memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan dan menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif negara.

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain, berkata lebih 60 peratus pelanggan menerima pembiayaan RM1 juta dan ke bawah, mencerminkan komitmen bank dalam memperluas akses kewangan kepada usahawan yang kurang mendapat perkhidmatan.

Beliau berkata, pencapaian itu turut diperkukuh melalui sokongan kerajaan dengan hampir RM2 bilion diperuntukkan di bawah inisiatif strategik Belanjawan 2026 bagi mempercepat pertumbuhan PMKS.

“Prestasi SME Bank pada 2025 memperkukuhkan peranan pembangunan kami dalam memperkasa ekosistem PMKS di Malaysia.

Jumlah kelulusan pembiayaan meningkat 19 peratus kepada sekitar RM4.3 bilion, mencerminkan permintaan berterusan dalam sektor utama seperti pembangunan Bumiputera, teknologi, pendigitalan, kelestarian iklim dan industri halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pembiayaan, SME Bank turut menyokong lebih 14,500 usahawan melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, sosial dan keterangkuman kewangan sepanjang tahun lalu.

Usaha itu menyumbang kepada pengukuhan sektor PMKS yang kini menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan lebih RM650 bilion nilai ekonomi negara.

Dalam pada itu, SME Bank terus memperkukuh peranan pembangunan melalui intervensi bersasar bagi meningkatkan daya tahan perniagaan dan memperluas akses pasaran, khususnya dalam kalangan segmen memerlukan.

Antara inisiatif utama termasuk program pemecut eksport, pembangunan kapasiti, serta penyelesaian kewangan sosial yang membantu meningkatkan pendapatan dan menggalakkan pendigitalan perusahaan tempatan.

SME Bank juga menyokong pengembangan ekonomi halal dengan membantu syarikat tempatan memenuhi piawaian pensijilan dan menyertai rantaian nilai global.

Selain itu, platform padanan perniagaan antarabangsa diperkenalkan bagi menghubungkan syarikat tempatan dengan pembeli luar negara, sekali gus membuka peluang perdagangan rentas sempadan.

Secara keseluruhan, inisiatif berkenaan dijangka terus memperkukuh ekosistem PMKS melalui peningkatan produktiviti, penciptaan nilai serta peluang pekerjaan, selaras aspirasi pembangunan Ekonomi MADANI.

SME Bank, yang ditubuhkan pada 2005, berperanan sebagai institusi kewangan pembangunan dalam memacu pertumbuhan PKS, termasuk mempercepat transformasi digital dan penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0.

Bermula 1 Mei 2025, bank itu menjadi anak syarikat kepada Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), sekali gus memperkukuh peranannya dalam landskap kewangan pembangunan negara. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close