Pilihan EditorTurun Naik

CENDIAKAWAN: Mengenal cahaya ilmu warisan al-Attas

Oleh Nazmi Yaakub

MAULANA Jalaluddin al-Balkhi Rumi pernah menghimpunkan anak murid yang bersahabat dengannya, lalu berkata: “Usah takut dengan pemergianku dan jangan berduka kerana cahaya Mansur al-Hallaj, selepas 150 tahun terzahir kepada Fariduddin ‘Attar yang menjadi pedoman rohaninya.”

Ungkapan dicatatkan Aflaki, iaitu anak murid kepada Sultan Valad yang meneruskan kesinambungan tradisi Maulawiyah itu, pada satu sisi kedengaran mistik. Aflaki memang menulisnya dalam Manaqib al-Aarifin, yang dikategorikan sebagai karya hagiografik, iaitu riwayat hidup dan naratif tokoh yang menggabungkan fakta, tradisi lisan dan legenda.

Bagaimanapun dalam konteks tradisi keilmuan Islam, ia boleh difahami melalui konsep sanad ilmu dan suhbah yang menghimpunkan makna persahabatan dan khidmat antara guru dengan anak muridnya.

Dalam fiqh misalnya, empat mazhab Shafii, Maliki, Hanafi dan Hambali berkembang serta menjadi baku kerana wujudnya sanad ilmu dan suhbah, begitu aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Asya’irah dan Maturidiyah kekal memandu akidah majoriti umat Islam kerana disampaikan melalui hubungan langsung.

Dalam tariqat sufi muktabar, sanad dan suhbah menjadi benteng daripada sebarang kesalahan serta penyelewengan, sekali gus memudahkan pihak berwajib dan masyarakat membezakan antara kumpulan yang benar dengan kelompok yang sesat.

Pastinya, tidak ada orang yang paling memahami ajaran dan didikan seseorang guru kecuali anak muridnya yang belajar secara langsung serta bersuhbah dengan gurunya, apatah lagi sepanjang hayat.

Hakikat ini juga menjelaskan bagaimana warisan keilmuan Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang kembali ke rahmatullah Ahad lalu, tidak berakhir dengan pemergiannya, tetapi berterusan melalui anak murid yang sepanjang hidup bersuhbah dengannya.

Suhbah itu tidak terhenti hanya selepas mereka mendapatkan ijazah sarjana mahupun doktor falsafah di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), sebaliknya bersama-sama membantu al-Attas dalam membangunkan institusi berkenaan.

Meskipun ramai menjadi sarjana dan ahli akademik serta tokoh dalam pelbagai bidang, bagaimanapun ketika al-Attas menyampaikan syarahannya sama ada di ISTAC atau Pusat Kajian Tinggi Islam Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mereka dengan tawaduk menjadi anak murid yang menadah ilmu.

Apa yang disyarahkan al-Attas yang turut terkandung dalam karya pentingnya seperti Prolegomena to the Metaphysic of Islam, Islam and Secularism dan Risalah Untuk Kaum Muslimin atau buku mutakhirnya, On Justice and the Nature of Man serta Islam: The Covenants Fulfilled sudah mendarah daging dalam pemikiran dan jiwa anak muridnya.

Tradisi keilmuan al-Attas yang terjelma melalui penghayatan langsung terhadap gagasan, disiplin dan adab yang dibangunkan di ISTAC itu kemudian tidak berakhir hanya semata-mata beliau tidak lagi berada di situ, sebaliknya kesinambungannya dapat disaksikan di Pusat Kajian Tinggi Islam Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS).

Anak murid penerus ilmu al-Attas

Di sini, anak murid generasi pertama al-Attas – selain puteranya sendiri, Datuk Dr Syed Ali Tawfik al-Attas – seperti Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman, Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris dan Allahyarham Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah mendidik pula generasi berikutnya umpamanya Dr Mohd Hilmi Ramli.

Tidak keterlaluan untuk kita menyimpulkan yang paling faham mengenai pandangan Imam Shafii adalah anak muridnya, al-Muzani, al-Rabi’ al-Muradi dan al-Buwayti kerana wujudnya proses pendidikan holistik termasuk suhbah itu, maka begitu juga dalam konteks al-Attas.

Malah, ia turut berlaku dengan pelajar di RZS CASIS juga, selain program seperti mana hubungan guru-murid antara al-Attas dengan anak murid generasi pertamanya berlangsung, hal sama juga berlaku bukan sahaja antara al-Attas dengan generasi berikutnya, bahkan diperkukuh dengan didikan anak muridnya sendiri.

Justeru, dalam kita mengenang sumbangan al-Attas terutama pengukuhan pandangan alam Islam, merintis dan mengemukakan konsep Islamisasi ilmu serta pembinaan kerangka falsafah pendidikan Islam pada masa kini dan penzahirannya dalam bentuk institusi, kita tidak boleh ‘menamatkan’ perjuangannya pada tarikh 8 Mac lalu.

Apa yang digagaskan, dizahirkan dan dibentuk al-Attas itu tidak boleh dipisahkan daripada anak muridnya seperti mana kesinambungan mazhab fiqh, aliran akidah dan tariqat tasawuf muktabar diteruskan anak murid kepada ulama besar yang awal seperti mata rantai yang saling tidak terpisah.

Malah, al-Attas sendiri juga adalah penyambung daripada tradisi ilmu dalam kerangka ASWJ yang kini sedang diteruskan oleh anak muridnya daripada pelbagai lapisan generasi.

Memang pemergian beliau ditangisi dan mustahil untuk dicari ganti seumpama, tetapi tradisi disambung dan dibinanya kembali itu akan terus hidup melalui ilmuwan dan tokoh pelbagai bidang yang pernah menerima didikannya secara langsung mahupun tidak.

Seperti diisyaratkan Rumi dalam ungkapan diriwayatkan Aflaki, cahaya ilmu tidak pernah terpadam dengan kewafatan seorang guru, sebaliknya ia hanya berpindah tangan, menyala dalam diri mereka yang bersuhbah dengannya dan setia meneruskan jalan ilmu diwariskan.

Cuma, kita tidak perlu menunggu 150 tahun. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close