Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO [PANDU UJI]: VOLVO XC60 T8 AWD Recharge Versi 2024 Menelusuri Secara Pintar Membelahi Banjaran Titiwangsa dan Pantai Timur

Sebuah SUV kelas sederhana hibrid plug-in yang sangat pintar

Oleh wartawan Bacalah Auto

Segala-galanya terasa KESERONOKAN, KEPUASAN, KETERUJAAN dan paling penting terasa KETERJAMINAN KESELAMATAN !

Semuanya itu atas nama PINTAR – PINTAR terhadap teknologi berprestasi tinggi. Seolah-olah ia tahu apa yang bermain di benak minda kita, tahu perasaan kita, tahu kehendak kita dan tahu tujuan kita.

Ini seolah-olah seumpama AI (Kecerdasan Buatan) yang menjadikan kita “SEHATI” sebagai sebuah kenderaan dan kenderaan itu “SEJIWA” seperti manusia, ala-ala seperti macam cerita Transformers. 

Lebih-lebih lagi kenderaan hebat ini juga dirasai seumpama telefon pintar di tangan kita, tetapi yang ini – sangat kelainan kerana kenderaan yang dipandu uji kali ini adalah berupa Volvo XC60 T8 AWD Recharge versi 2024, sebuah SUV kelas sederhana hibrid plug-in yang sangat pintar.

Bacalah Auto telah beberapa kali memandu uji pelbagai kenderaan versi Volvo, tetapi berasakan kelainan kali ini kerana sebaik duduk sahaja di kokpit pemandu, seolah-olah merasakan diri itu di-hibrid plug-in dan dimuat-naik apa sahaja fikiran kita terus ke dalam kenderaan pintar berkenaan.

HARI PERTAMA

Pandu uji kali ini, Bacalah Auto membawa Volvo XC60 2024 menuju ke Pantai Timur sebagai singgahan pertama, apa lagi kalau tak ke negeri Terengganu yang CANTIK-CANTIK, BUDAYA MENARIK, ORANGNYA BAIK-BAIK !. 

Agak lewat petang, Bacalah Auto masih di Lebuh Raya Pantai Timur sambil menikmati lagu Senja Nan Merah – kena sangat dengan suasana waktu itu apatah lagi melayan sistem audio bunyi Bowers dan Wilkins. 

 

Mana tidaknya – sistem audio ini memberi pilihan dalam teknologi “Transformasi Bilik” bagi mencipta mood pendengar tidak kira berasakan suasana dalam studio, pentas individu, mahupun dalam dewan konsert atau ruang cafe berlatarbelakang dengan lagu Jazz.

Ternyata anda telah hidupkan muzik kegemaran menerusi suara 15 high-fi speakers yang ditala dengan tepat dan subwoofer yang inovatif dengan 1,410 watt output, tetapi jangan terlalu asyik mendengar muzik dan terus leka sewaktu sedang memandu itu,  takut-takut terbabas pula.

Usah bimbang – Volvo XC60 2024 sentiasa menjaga insan di dalamnya serta diri kenderaan itu sendiri yang berkonsepkan “Preventive” dan “Protection”.

Sebenarnya ia sangat membantu, umpamanya limpahan lampu pintar LED bertindak sebagai mata-mata tambahan, sekaligus membuatkan mata kita menjadi terang akan keadaan lebuh raya yang kadang-kala gelap, tetapi itu tidak menjadi masalah.

Kalau ada sahaja objek di tepi lebuh raya, atau di tengah lebuh raya dan apa sahaja objek di depan, atas dan sebagainya, suluhan lampu pintar itu sangat membantu penglihatan Bacalah Auto. 

Kalau si pemandu itu punya silau cahaya atau rabun jauh….memang sangat membantu malahan andainya ada kenderaan di depan, lampu pintar itu akan berada dalam keadaan biasa dan tidak menganggu, memukau bukan !

Sudah tentu pemanduan itu terasa selamat dalam keadaan apa jua pun. Terima kasih Volvo XC60 2024 kerana dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif terkini dan cemerlang.

Rasanya kalau si pemandu berusia 50 tahun pun atau 60 tahun atau 70 tahun, pasti tahap confident itu sangat tinggi di atas sistem pintar seperti “Advanced Driver Assistance Systems” (ADAS), dengan pengelakan pelanggaran bantuan menjaga lorong, mitigasi laluan dan lintasan-amaran lalu lintas dengan brek automatik.

Paling penting juga, Sistem Maklumat Titik Buta dan kamera pandangan keliling yang menjadikan Volvo XC60 2024 kenderaan idaman SUV kelas sederhana hibrid plug-in masa kini.

HARI KEDUA

Pagi-pagi Bacalah Auto bangun bersemangat untuk pandu uji di beberapa lokasi ikonik Kuala Terengganu. Apatah lagi cuaca sangat cerah, langit membiru katakan.

Memang kena sangat pandu uji Volvo XC60 2024 kali ini dengan warna Vapour Grey, satu warna kontemporari baharu yang membawa kepada yang sempurna, mencetuskan mood yang mantap. Itu sudah pasti !

Kata ahli falsafah, warna kelabu itu dilihat sebagai intelek, berpengetahuan dan bijaksana. Wah, kena sangat dengan ciri-ciri Volvo XC60 2024 ini, malah kata pujangga Barat, kelabu itu membawa kepada simbolik tahan lasak walaupun bersifat konservatif tetapi ia membawa maksud berkuasa.

Sebut sahaja berkuasa, memang SUV ini ada kuasa tersendiri. Melayan jalan-jalan di pinggir bandar Kuala Terengganu, terutama di kawasan lapangan terbang antarabangsanya yang memanjang mengikut persisiran pantai indah, dari segi teknikal teknologinya, sistem janaan kuasa Volvo XC60 2024 ini telah ditambah baik. 

Bateri hibridnya kini lebih besar iaitu 19kWh dan mampu membekalkan pemanduan mod elektrik sehingga 81 kilometer. Sistem pengecas bersepadunya menyokong sehingga 6.4kW, bermakna pengecasan penuh bateri dengan kabel luaran kini memerlukan tiga jam sahaja berbanding sebelumnya (lima jam).

Output keseluruhan dikekalkan pada 462hp dan 709Nm iaitu umpama kereta sporty, itulah ciri-ciri keistimewaan kepada gabungan enjin petrol dan motor elektrik. Enjin itu sendiri menghasilkan 317hp dan 400Nm, manakala motor elektrik membekalkan tambahan 145hp dan 309Nm.

Banyak mata yang meleret-leret apatah lagi Volvo XC60 2024 ini mula berposing bagaikan model berdekatan ikonik “Downbridge” Terengganu atau Jambatan Angkut Terengganu. Seperti mana keajaiban kejuruteraan yang unik merentasi Sungai Terengganu, jambatan angkut ini yang panjangnya kira-kira 638 meter dan lebar 24 meter direka cipta bukan sahaja untuk alat pengangkutan tetapi berfungsi sebagai tarikan kebudayaan dan pelancongan.

Serasi benar kejuruteraan hebat Jambatan Angkut dengan Volvo XC60 2024 ini…. 

Yang penting, bukan nak menunjuk-nunjuk membawa jalan si Volvo XC60 2024 ini, tapi disebabkan rupa yang cukup kemas, segak, premium dan ada kelas gitu, ramai yang menoleh-noleh jua di sekitar Water Front Kuala Terengganu dan Pasar Payang.

Ok, Bacalah Auto tak sabar untuk terus pandu uji di jalan persisiran pantai menghala ke Pantai Penarik di Setiu. Jarak antarannya dengan Kuala Terengganu sekitar 62 kilometer dan sudah tentu sistem elektrikasi yang mampu sehingga 81 kilometer dimanfaatkan sepenuhnya. 

Lagi-lagi cuaca yang cerah, Bacalah Auto tidak melepaskan peluang menikmati langit terbuka menerusi bumbung panoramik yang membenarkan cahaya masuk, mewujudkan rasa semula jadi dan luas untuk semua orang di dalam kabin.

Apatah lagi di sebelahnya laut terbentang luas dengan pemandangan pokok bakau.

HARI KETIGA

Perjalanan kali ini Bacalah Auto akan merentasi Timur-Barat. Bermula dari Setiu-Besut-Machang-Jeli-Grik-Taiping.

Lama sebenarnya tidak melalui laluan Timur Barat ini, mungkin dah lebih 15 tahun lalu, apatah lagi nak merentasi banjaran Titiwangsa itu. Selalu laluan itu, kalau bernasib baik terserempaklah dengan kumpulan gajah, tapir atau kadang-kala Pak Belang. Yang biasa ke temu adalah geng monyet yang selalu bertenggek di bahu jalan atau pokok yang rendang.

Jadi Bacalah Auto pasti menggunakan integrasi teknologi terkini dengan Perkhidmatan Google termasuk Google Maps dan Google Assistant untuk memudahkan perjalanan sejauh lebih 300 kilometer ini.

Pengalaman pandu uji  Volvo XC60 2024 sangat terbuka menerusi kuasa melebihi 400hp dan 700Nm bukanlah untuk ia menjadi lincah di selekoh, tetapi lebih kepada rasa keselamatan yang terjamin, berasakan hak premium itu dan paling pasti adalah keselesaan dan empuk.

 

Sempat singgah ke Bukit Bunga, Kelantan, tidak jauh pun daripada sempadan Thailand itu. Cuma dua kilometer ke Buketa, Thailand. Mujur tidak membawa pasport antarabangsa, kalau tidak….pandu uji silap-silap sampai ke Bangkok kan ?

Tidak apalah, destinasi seterusnya nak singgah sebentar di Tasik Banding di kawasan Hentian Royal Belum. Namun Lebuh raya Timur-Barat ini boleh tahan juga selekohnya, jalan pula ada yang berlopak-lopak.

Tapi Volvo XC60 2024 ini menafikan semua keadaan itu. Badan tak terasa penat apatah lagi profil kuasa yang tinggi juga memberikan keyakinan, lebih-lebih lagi susur lebuh raya, sewaktu memotong dan sistem brek yang sangat baik. 

Tidak sia-sia versi ini dilengkapi sistem AWD. Apa itu AWD (All Wheel Drive) ? Kalau dalam bahasa mudahnya, ia satu sistem yang menggerakkan keempat-empat tayar sepanjang masa. Sistem ini bukan setakat meningkatkan transi dan kestabilan tetapi kuasa yang diagihkan secara automatik ke roda akan mempunyai cengkaman paling tinggi.

Bagi aspek keselamatan, andainya satu roda mula tergelincir, sistem kuasa AWD akan berpindah ke roda lain bagi prestasi lebih baik terutama dalam keadaan jalan licin, tidak rata atau bersalji di negara sejuk.

Jadi bayangkan perjalanan menerusi Lebuh Raya Timur-Barat ini, seronok dan teruja kan…

HARI KEEMPAT

Sempat bermalam di bandar bersejarah Taiping yang juga turut dikenali sebagai Bandar Hujan.

Tidak mahu melepaskan peluang, pepagi lagi Bacalah Auto sempat berjogging di Taman Tasik Taiping yang sangat terkenal dengan keindahan alam flora dan faunanya. Pokok-pokok angsana, pokok seroja dan pokok tembusu mewarnai pemandangan itu.

Berlatar belakang Bukit Larut, terasa sejuk suasananya, aman damai, menyenangkan dan membahagiakan, Volvo XC60 2024 juga tidak mahu melepaskan peluang kerana sudah tentu kenderaan yang menampilkan reka bentuk Scandinavia ini menepati citarasa alam hijau dan semulajadi.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, keterujaan Bacalah Auto tidak boleh dinafikan kerana sesiapa yang berkemampuan dan peminat kenderaan Volvo terutamanya XC60 T8 AWD Recharge 2024 ini sangat berbaloi untuk dilaburkan.

Membelah Lebuh Raya Utara-Selatan, kenderaan seberat lebih 2,200 kilogram itu sudah tentu punya prestasi yang menakjubkan. Top speed yang boleh mencapai 180 km/h, 709 Nm torque dan kuasa enjin mencapai 462 hp dan 340 kW, kenderaan itu bergerak bagaikan “RAJA LEBUH RAYA”.

Segala-galanya ada pada Volvo XC60 versi 2024 kali ini – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close