Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Tidak ada tempat di negara ini untuk mereka yang biadab dan tidak menghormati Rukun Negara !
Ketegasan yang dimaksudkan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim itu merujuk kepada pihak tertentu terutama parti politik jangan terus menerus memperlekehkan dan menghina sistem perundangan serta institusi kehakiman negara, sebagai institusi bebas dan berintegriti.
Katanya, parti politik dan rakyat Malaysia perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan seperti mana termaktub dalam Prinsip Rukun Negara.
“Sistem perundangan dan badan kehakiman umpama injap keselamatan yang tanpanya demokrasi tidak dapat berkembang.
“Atas landasan itu, ia harus dilindungi, integriti dan keupayaannya harus dihargai dan tindakan menghormati keputusan mahkamah harus dipertahankan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang turut menegaskan supaya jangan sewenang-wenang menghina sistem yang telah lama dilaksanakan.
“Wanita UMNO Malaysia akan sentiasa menegakkan prinsip-prinsip di bawah Rukun Negara,” katanya lagi.
Dalam soal ini, Norliza juga menegaskan tidak ada pilih kasih dalam proses keadilan dan tidak ada perbezaan antara rakyat dan mereka yang berdepan dengan dakwaan pihak berkuasa seperti kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa lagi atas pertuduhan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion serta satu lagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang turut membabitkan isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang.
“Jangan kita menjadi sebagai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan.
“Saya selaku Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menegaskan tidak ada tempat di negara ini untuk mereka yang biadap dan tidak menghormati Rukun Negara,” kata Norliza. – BACALAHMALAYSIA.MY