MalaysiaPilihan Editor

50 Mahasiswa UMS Dilantik Sebagai Duta NADI Pacu Akses Digital Komuniti Sabah

Seramai 50 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Duta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi berperanan dalam menyebar luas mesej advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), termasuk Kempen Internet Selamat (KIS).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kumpulan sukarelawan UMS ini akan memainkan peranan penting dalam menyebar luas mesej advokasi SKMM, termasuk KIS, melalui pendekatan akar umbi bersama komuniti dan sekolah berhampiran di kawasan kediaman mereka.

“Seramai 50 sukarelawan mahasiswa UMS telah terpilih menyertai program ini yang julung-julung kali diperkenalkan oleh SKMM, dengan kerjasama UMS dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

“Sukarelawan yang berjaya melepasi sesi saringan akan mengikuti Bengkel Training of Trainers (TOT) selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai 2025 di UMS.

“Sepanjang bengkel ini, peserta akan didedahkan dengan asas kesukarelawanan, objektif dan fungsi NADI, modul Perkhidmatan Pintar NADI serta kandungan utama KIS.

“Mereka seterusnya dilantik sebagai Duta NADI, dengan tanggungjawab untuk menyampaikan taklimat kepada komuniti setempat termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, ibu bapa, guru serta usahawan yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program di NADI., kata Menteri Komunikasi sewaktu merasmikan Program Duta NADI di Sabah bagi mempromosikan inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI serta memperluas manfaatnya kepada komuniti setempat.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor dan Pengarah Urusan SKMM, Abdul Karim Fakir Ali.

Pendekatan penglibatan mahasiswa ini membuka ruang yang signifikan untuk menarik penyertaan komuniti daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur untuk lebih mengenali fungsi NADI, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ditawarkan secara optimum.

Sebanyak 25 NADI telah dikenal pasti dan dipadankan dengan kampung halaman 50 orang sukarelawan siswa terpilih, bagi memastikan pendekatan yang lebih bersifat mesra komuniti dan relevan dengan keperluan setempat.

Sepanjang cuti semester yang bermula 28 Julai hingga 28 September 2025, kumpulan sukarelawan ini akan menggalas tanggungjawab sebagai Duta NADI dalam mempromosikan impak dan peranan pusat ini, khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close