Kedai RuncitPilihan Editor

Platform MyMall Bantu Usahawan Tingkat Pendapatan – Noh

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan platform e-dagang, MyMall bagi memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang inklusif.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata langkah KUSKOP itu adalah bagi memastikan usahawan mendapat peluang perniagaan dalam talian pada kadar caj pengurusan yang lebih rendah berbanding penyedia e-dagang yang lain.

Beliau berkata, ia sekali gus akan membantu usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan selepas berhadapan dengan pelbagai rintangan sejak dua tahun yang lalu.

Katanya, KUSKOP turut menyasarkan MyMall akan menjadi platform e-dagang utama di Malaysia dalam tempoh waktu yang terdekat.

“Susulan kepada percambahan industri ini, wujud pelbagai platform e-dagang di Malaysia yang mengenakan pelbagai caj termasuk caj yang tersembunyi, ibarat mengambil kesempatan di dalam kesempitan.

“Justeru itu, KUSKOP menggalas tanggungjawab dan komited dalam memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang inklusif di negara ini, dengan mewujudkan satu platform digital yang bersepadu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan MyMall di sini, hari ini.

Noh berkata, MyMall menggabungkan empat platform e-dagang membabitkan KUSKOP dan agensi di bawahnya iaitu ODELA, Pybli, Angsana Virtual Mall dan WarongKu.

Beliau berkata, gabungan ini akan dapat membantu usahawan informal, mikro, kecil dan sederhana memperluas pasaran perniagaan mereka dengan kos yang lebih rendah.

Katanya, melalui penggabungan itu, pengguna yang terdiri daripada usahawan dan pembeli akan lebih mudah untuk mencapai perkhidmatan e-dagang di bawah KUSKOP.

“Penggabungan itu juga bakal mewujudkan pasaran yang lebih luas kepada produk usahawan tempatan serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.

Noh berkata, promosi bagi keempat-empat platform sedia ada itu turut disatukan di bawah satu jenama yang akan menjimatkan kos.

“MyMall akan disediakan dalam empat fasa bermula dengan fasa pertama meningkatkan jumlah rakan usahawan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah usahawan keempat platform e-dagang sedia pada tahun ini.

“Selepas itu, fasa seterusnya akan dilaksanakan sehingga akhir tahun ini atau selewat-lewatnya suku pertama 2023. Apabila lengkap, MyMall akan menjadi pusat jualan sehenti kepada semua usahawan dalam talian di Malaysia dan juga peringkat serantau,” katanya.

Noh berkata, menerusi inisiatif itu, KUSKOP berharap ekosistem keusahawanan di Malaysia dapat diperkukuhkan lagi, sejajar dengan strategi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

Katanya, ia bagi menyokong perusahaan berteraskan inovasi dan berpertumbuhan tinggi, serta matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, demi memastikan usahawan tempatan tidak ketinggalan dalam gelombang pendigitalan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close