Ekonomi Islam & GlobalMalaysiaPilihan Editor

AS Bersama anda 100 Peratus’ – Trump Kepada ASEAN

Presiden Donald Trump menegaskan kepada pemimpin ASEAN bahawa Amerika Syarikat (AS) akan terus menjadi rakan kukuh kepada rantau ini untuk generasi akan datang.

Berucap pada Sidang Kemuncak AS–ASEAN di Kuala Lumpur, Trump berkata AS kini berada pada era kegemilangannya.

“Pesanan kami kepada negara-negara Asia Tenggara adalah bahawa AS bersama anda 100 peratus, dan kami berhasrat untuk terus menjadi rakan yang kuat untuk banyak generasi akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya AS dan ASEAN berada pada kedudukan berbeza setahun lalu, namun kini kedua-duanya di kedudukan terbaik yang pernah dicapai.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin ASEAN. - Foto BERNAMA
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin ASEAN. – Foto BERNAMA

Sambil menyifatkan negara anggota ASEAN sebagai rakan kongsi paling penting bagi AS, Trump menegaskan kehadiran beliau ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 hari ini adalah untuk memperkukuh hubungan dengan rantau ini.

“Di seluruh dunia, mereka memandang tinggi kepada anda. Saya berada di sini dengan misi persahabatan dan niat baik, iaitu untuk memperdalam hubungan perdagangan kita, memperkukuh keselamatan bersama serta benar-benar memajukan kestabilan, kemakmuran dan keamanan bagi semua negara, jauh melangkaui sempadannya.

“Itulah sebabnya saya berasa amat gembira kerana selain perjanjian dengan Malaysia pada minggu ini, kami juga sedang menandatangani atau hampir memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan banyak rakan Indo Pasifik yang lain, dari Kemboja hingga Jepun dan Korea Selatan.

“Kami berbesar hati untuk membentuk kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang tenaga, teknologi, kecerdasan buatan (AI), mineral kritikal dan industri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-13 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Sidang berkenaan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua-Ketua Negara ASEAN.

Trump berkata, walaupun beliau berada di Malaysia selama sehari, namun ia satu pengalaman luar biasa, melihat segala perkara yang dicapai ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia dan Anwar memastikan beliau melihat semua pencapaian itu.

Beliau turut berhasrat untuk terus berbincang dengan pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan, minggu ini.

“Anda semua ialah pemimpin hebat, insan yang luar biasa. Tenaga, kebijaksanaan dan segala yang anda lakukan, amat mengagumkan.

“Saya benar-benar maksudkannya, setiap perkara yang anda sentuh menjadi emas dan anda harus berasa amat bangga dengannya. Bahagian dunia lain tidak seperti ini.

“Anda semua adalah insan yang sangat istimewa dan ini adalah tempat yang sangat istimewa,” katanya. – BH ONLINE

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close