Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: PROTON Eksport 1,000 X50, X70 Ke Afrika Selatan

Proton Holdings Bhd (PROTON) sudah menghantar 1,000 unit model Proton X50 Dan X70, selepas dua bulan kembali semula secara rasmi ke Afrika Selatan.

Pengarah Jualan Antarabangsanya, Steven Xu, berkata jenama Proton telah bertapak kukuh di ‘Rainbow Nation’ itu hasil populariti Proton X50 dan X70.

“Penjualan pantas kenderaan kami di Afrika Selatan adalah bukti daya tarikan Proton sebagai jenama, dan rangkaian model kami kepada pembeli kereta di sana.

“Kami mempunyai hubungan kerja yang kukuh dengan Kumpulan CMH, dan mereka telah mengendalikan banyak aktiviti untuk memberikan peluang kepada seramai mungkin warga Afrika Selatan untuk merasai rangkaian model semasa kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Penghantaran pertama kenderaan yang terdiri daripada Proton X50 dan Proton X70 berlaku pada Mei lalu manakala pelancaran semula jenama dan produk berlangsung pada 14 September 2022.

“Sejak itu, CMH telah meluaskan rangkaian pengedaran secara berperingkat untuk meningkatkan akses kepada pasaran sambil turut aktif mempromosikan kenderaan Proton di media sosial.

“Pada masa ini, hanya kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton ditawarkan di negara itu, dan Proton Saga akan menyertai rangkaian terbabit pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun pasarannya matang dan berdaya saing, PROTON dan CMH optimis terhadap prospek jualan di Afrika Selatan dan dengan prestasi jualan yang kukuh setakat ini, kedua-dua entiti itu menyasarkan untuk menggandakan jumlah jualan pada 2023.

“PROTON dan CMH yakin mampu mengembangkan jualan secara eksponen di Afrika Selatan kerana sambutan yang kami terima setakat ini amat menggalakkan.

“Kami komited untuk menyediakan SUV mewah mampu milik untuk pembeli kereta di Afrika Selatan, dan Proton X50 dan X70 mempunyai gabungan ciri dan nilai yang tepat untuk bersaing dengan jenama lain.

“Dari segi spektrum yang lain, kami juga merasakan bahawa Proton Saga akan menemui posisinya sendiri dengan gabungan gaya, ciri canggih dan harga yang memberi nilai tinggi kepada pembeli,” katanya.

Xu berkata, jualan eksport terus menunjukkan aliran pertumbuhan pada 2022 selepas mencatatkan jumlah jualan yang berganda pada 2021 dan terus berkembang tahun ini.

“Jumlah eksport sehingga akhir November berjumlah 5,028 unit dan dengan baki satu bulan sebelum tahun ini berakhir, Bahagian Jualan Antarabangsa syarikat yakin akan dapat membesarkan lagi nombor itu,” katanya.

Pakistan kekal sebagai pasaran terbesar dengan 2,610 unit setakat tahun ini.

Pasaran Afrika Selatan pula adalah yang kedua terbesar dari segi jumlah walaupun menjadi tambahan baharu ke dalam senarai eksport, manakala Brunei menduduki tempat ketiga.

Bagi kedudukan model, Proton Saga kekal sebagai tawaran paling popular manakala Proton X70 telah meningkat hampir dua kali ganda jumlahnya tahun ini.

Sementara itu, Proton X50 berada di tempat ketiga tetapi telah mencatatkan peningkatan jualan tahun ini sebanyak tiga kali ganda setakat ini.

“Jumlah eksport PROTON terus berkembang secara agresif apabila kami memasuki lebih banyak pasaran baharu dan mewujudkan gabungan strategi import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) yang bergantung kepada keadaan pasaran.

“Jualan eksport adalah antara tunggak pertumbuhan jualan kami dan oleh itu, kami akan berusaha untuk terus berkembang secara agresif pada tahun-tahun akan datang dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengeksport utama kenderaan untuk Malaysia,” tambah Xu. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close