Dimensi Bisnes

Alibaba Sasar 1 Bilion Pengguna Di China, RMB10 Trilion Penggunaan Dalam Tempoh 5 Tahun

Alibaba Group Holding Ltd menyasarkan untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih 1 bilion pengguna di China dan memudahkan lebih 10 trilion renminbi (1 yuan China=RM0.61) penggunaan di platformnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Daniel Zhang berkata syarikat akan meneruskan tiga teras strategik iaitu globalisasi, penggunaan domestik dan data raya yang diupayakan oleh pengkomputeran awan.

“Globalisasi adalah usaha jangka panjang kami, penggunaan domestik adalah usaha utama kami dan data raya yang diupayakan oleh pengkomputeran awan adalah usaha kami untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Alibaba Group turut merangka matlamat jangka panjang — untuk mencapai dua bilion pengguna di peringkat global, mewujudkan 100 juta pekerjaan dan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong 10 juta perniagaan kecil untuk mencatat keuntungan di platformnya menjelang 2036.

Zhang berkata pada tahun fiskal yang lepas, walaupun terdapat impak daripada pandemik COVID-19, Alibaba masih mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan lima tahun lepas, iaitu nilai dagangan kasar melebihi US$1 trilion (US$1=RM4.26).

“Ini adalah pencapaian penting untuk Alibaba terutamanya dalam konteks jumlah jualan runcit tahunan untuk barangan pengguna di China hari ini sebanyak US$6 trilion.

“Matlamat kami yang akan datang ialah memberi perkhidmatan kepada lebih satu bilion pengguna di China dan memudahkan lebih 10 trilion renminbi penggunaan di platform kami dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan dan pembangunan Alibaba Group sejak 20 tahun lepas adalah daripada sokongan masyarakat dan syarikat percaya cara terbaik untuk menunjukkan rasa terima kasih adalah dengan membantu menangani cabaran yang dihadapi mereka dan memacu kemajuan untuk manfaat seluruh masyarakat.

“Tahun lepas, kami turut meraikan pelbagai peristiwa penting. Alibaba memindahkan sistem terasnya kepada awan awam, membuka laluan kepada membina infrastruktur awan untuk masa depan. Kami kembali ke Hong Kong untuk penyenaraian kedua.

“Alibaba memberi keutamaan kepada inovasi diri dan percambahan idea baharu sejak 20 tahun lepas.

“Daripada Taobao kepada Alipay kepada Cainiao kepada Alibaba Cloud, daripada DingTalk kepada Freshippo kepada Taobao Live, semua ini membantu meningkatkan kehidupan pengguna, meningkatkan pembangunan perdagangan dan memacu kemajuan masyarakat,” katanya.

Matlamat utama Alibaba, katanya, mewujudkan nilai untuk masyarakat dan membantu mencari penyelesaian untuk menghadapi cabaran masyarakat serta menukar sumber kumpulan kepada bahan api untuk perniagaan kecil dan sederhana, yang akan menyokong kemajuan masyarakat.

“Pada malam ulang tahun ke-20 kami, kami membentangkan visi kami untuk menjadi sebuah syarikat yang baik selama 102 tahun. Kami berada di persimpangan yang penting dalam sejarah dan misi kami sedang diuji,” katanya. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close