Ekonomi Islam & GlobalGovernans

Anwar Pelawa Firma Jerman, Eropah Melabur Di Malaysia

Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi hub bagi firma dari Jerman dan Eropah menerokai pasaran ASEAN dan China yang lebih besar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri mempelawa firma Jerman serta perniagaan di serata Eropah untuk melabur dan menjalin kerjasama dengan Malaysia yang juga sebuah negara dinamik, strategik dan pesat berkembang.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai tenaga buruh mahir, infrastruktur moden, persekitaran kawal selia yang jelas dan potensi pertumbuhan yang besar.

“Kami adalah sebuah ekonomi dinamik yang sesuai dan menepati abad ke-21, malah rakan kongsi yang sempurna untuk firma Jerman.

“Asean dijangka muncul sebagai ekonomi kelima terbesar dunia menjelang 2030. Rantau ini turut menyediakan peluang bagi pertumbuhan yang eksponen,” katanya.

Perdagangan dua hala telah melonjak sebegitu ketara pada purata tahunan sebanyak 5.2 peratus manakala Malaysia terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI) dengan syarikat Jerman melabur sebanyak 8.5 bilion euro pada 2023.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mengetengahkan manfaat yang boleh diraih pelabur asing daripada pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan bagi memudah cara menjalankan perniagaan, membina keyakinan terhadap sistem Malaysia yang pada akhirnya dapat memastikan kestabilan jangka panjang di negara ini.

PKS dan ekonomi digital

Pada sesi pertemuan dengan perniagaan dan pelabur Jerman, Anwar memaklumkan mereka mengenai kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk kepada ekosistem halal dan ekonomi digital.

Malah, sejajar usaha Jerman yang berhasrat untuk menembusi pasaran halal, beliau berkata Malaysia selaku peneraju dalam industri bernilai berbilion dolar, adalah rakan kongsi yang ideal dengan menawarkan kepakaran, infrastruktur dan rangka kerja kawal selia halal yang mantap.

Sewaktu berucap, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Jerman serta ekonomi masing-masing dibangunkan pada asas yang sama iaitu bersandarkan PKS walaupun saiz sektor PKS Jerman jauh lebih besar.

Beliau juga menyifatkan Jerman sebagai sumber inspirasi kerana kejayaan negara itu untuk bangkit dengan lebih kukuh selepas mengalami kemusnahan dalam Perang Dunia Kedua.

Pada masa ini, kata Perdana Menteri, terdapat lebih daripada 700 syarikat-syarikat Jerman beroperasi di Malaysia, termasuk firma terkemuka seperti Siemens, Infineon serta Volkswagen.

Selain itu, Anwar berkata firma Jerman boleh bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha yang berkaitan dengan membangunkan tenaga boleh baharu.

Beliau turut mengambil peluang dengan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan dan mengetengahkan keunikan negara ini yang kaya dengan hutan serta pantai yang boleh dikunjungi sepanjang tahun.

Selain menggalakkan PKS untuk menerima inisiatif hijau, termasuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Anwar berkata kerajaan turut melonjakkan ekonomi digital dengan tumpuan khusus bagi menggalakkan teknologi digital kepada kalangan PKS bagi meningkatkan pertumbuhan eksport.

Sebanyak enam syarikat Malaysia menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyertai pameran dalam acara itu di sini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close