Ekonomi Islam & Global

Bank Dunia gesa Malaysia wujudkan pekerjaan lebih berkualiti

Malaysia perlu beralih daripada sekadar mewujudkan pekerjaan kepada menyediakan pekerjaan yang lebih berkualiti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi, berkata cabaran utama negara ketika ini bukan lagi kekurangan peluang pekerjaan, sebaliknya cara meningkatkan kualiti pekerjaan supaya mampu menawarkan gaji lebih tinggi dan kemahiran bernilai tinggi kepada tenaga kerja tempatan.

“Persoalannya adalah bagaimana Malaysia boleh beralih daripada ‘jobs’ kepada ‘better jobs’. Sebahagian jawapannya adalah kemahiran, tetapi itu sahaja tidak mencukupi tanpa kewujudan perniagaan yang mampu menawarkan pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global yang turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai moderator.

Panel lain adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Apurva berkata, Malaysia mempunyai asas makroekonomi yang kukuh termasuk inflasi yang rendah dan stabil selain penyelarasan dasar fiskal serta monetari yang baik antara kerajaan dan bank pusat.

“Ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil reformasi struktur yang dilaksanakan sejak sekian lama. Penyelarasan dasar antara kerajaan dan bank pusat adalah satu kekuatan besar Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja perlu disertai dengan pembaharuan terhadap sektor swasta bagi mewujudkan permintaan terhadap pekerjaan berkemahiran tinggi.

Katanya, sebahagian besar firma di Malaysia ketika ini tidak menghadapi tekanan persaingan dan permintaan yang mencukupi untuk mendorong pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi.

“Isu besar ialah mengapa tidak banyak syarikat tempatan menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan berintensifkan pengetahuan. Ini berkait rapat dengan struktur pasaran dan tahap persaingan,” katanya.

Apurva turut menarik perhatian terhadap kekangan yang dihadapi syarikat tempatan dalam tiga aspek utama iaitu kemasukan (entry), pengembangan (expansion) dan keluar (exit) daripada pasaran.

Menurutnya, persekitaran perniagaan yang kompleks termasuk keperluan pelesenan pelbagai agensi, tempoh kelulusan yang panjang serta kekangan peraturan menghalang kemasukan firma baharu.

“Firma di Malaysia sukar untuk masuk pasaran, sukar berkembang, dan apabila mahu keluar juga berdepan proses yang panjang. Ini meningkatkan kos dan menjejaskan inovasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Apurva berkata, kadar penyertaan firma Malaysia dalam pasaran antarabangsa juga masih rendah berbanding negara serantau, sebahagiannya disebabkan prosedur perdagangan yang mengambil masa lebih lama.

Selain itu, beliau berkata, kadar keusahawanan di Malaysia juga lebih rendah berbanding negara setara, walaupun bakat dan potensi inovasi individu tempatan adalah tinggi.

Menurutnya, ekosistem inovasi negara masih perlu diperkukuh termasuk dari segi akses kepada pembiayaan jangka panjang, toleransi terhadap kegagalan serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Malaysia tidak kekurangan bakat, tetapi ekosistem yang menyokong inovasi masih belum cukup kukuh,” katanya.

Sehubungan itu, Apurva menegaskan reformasi struktur yang menyeluruh perlu dipercepatkan bagi merangsang pertumbuhan sektor swasta, sekali gus mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi.

“Jika kita benar-benar mahu pekerjaan yang lebih baik, kita bukan sahaja memerlukan tenaga kerja yang lebih mahir, tetapi juga firma yang mempunyai sebab untuk menawarkan pekerjaan lebih baik,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close