MalaysiaPilihan Editor

Bekas Pengarah JKR Melaka Dipenjara 15 Bulan, Denda RM5 Juta

Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar terpaksa meringkuk dalam penjara selama 15 bulan serta membayar denda RM5 juta selepas gagal dalam rayuan terakhir berhubung sabitan terhadapnya bagi 13 pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas menolak rayuan Khalid.

Dalam penghakimannya, Hanipah berkata, sabitan Khalid adalah selamat dan panel itu bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, bahawa tiada keraguan wang yang diterima daripada subkontraktor telah digunakan untuk aktiviti sukan dan sosial JKR sebagaimana didakwa oleh tertuduh.

Panel itu turut mengesahkan sabitan Khalid bagi kesalahan pengubahan wang haram membabitkan wang tunai RM375,000 yang didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka pada 15 Ogos 2016.

Khalid, 61, merayu terhadap hukuman penjara 15 bulan dan denda RM36 juta yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Julai 2018 selepas dia didapati bersalah atas 13 pertuduhan rasuah dan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

 

Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Sebelum ini, Khalid gagal dalam rayuannya di peringkat Mahkamah Tinggi pada 11 Feb tahun lalu.

Khalid, yang bebas dengan jaminan RM350,000 sementara menunggu rayuan, perlu menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Bagi pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dia didakwa menerima RM196,200 di pejabat JKR Melaka di Jalan Taming Sari di sini antara Mac 2014 dan Ogos 2016.

Khalid turut berdepan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM5.2 juta dalam bentuk RM206,396.16 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera 2; RM506,735.92 dalam akaun Tabung Haji; RM1,984,798.08 dalam akaun Amanah Saham Wawasan 2020 dan lebih RM2.13 juta dalam akaun Amanah Saham Didik.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di Melaka antara 1 September 2015 dan 15 Ogos 2016 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tertuduh diwakili sepasukan peguam yang diketuai Ragunath Kesavan manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close