Platform e-Dagang terkemuka, Lazada Malaysia, meluaskan liputan ‘Jaminan Penghantaran’ seperti yang dijanjikan untuk meliputi lebih banyak lokasi bersempena Mid-Year Super Sale 7.7.
Dalam satu kenyataan, Lazada berkata pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia akan dapat menikmati perkhidmatan jaminan penghantaran LazMall bermula daripada kempen Mid-Year Super Sale 7.7, yang sebelum ini, banyak dinikmati oleh pelanggan di Lembah Klang sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow berkata perkhidmatan tersebut menyokong dua lagi janji sedia ada di LazMall – ‘100 peratus Asli’ dan ‘Pulangan 15 Hari’, memberi jaminan produk yang berkualiti tinggi dan tulen, polisi pulangan mudah selama 15 hari, serta perkhidmatan penghantaran yang boleh dipercayai yang dijamin akan tiba tepat waktu.
Lazada Malaysia berkata produk Penghantaran Dijamin LazMall dapat dikenal pasti dengan ikon ‘G’, yang menunjukkan ‘Jaminan Penghantaran’, serta ikon ‘24jam’ yang menunjukkan penghantaran akan dilakukan pada keesokan harinya.
Pelanggan akan dapat melihat tarikh penghantaran yang dinyatakan di halaman Pengesahan Pesanan, dan sekiranya penghantaran melepasi tarikh yang dijanjikan, mereka akan menerima pampasan yang dikreditkan secara automatik ke Lazada Wallet mereka, tanpa perlu mengemukakan tuntutan.
Sementara itu, katanya pra-jualan dalam talian 7.7 Lazada bermula pada 23 Jun hingga 7 Julai, menyediakan pelbagai tawaran menarik dan eksklusif untuk pengguna seperti penghantaran percuma di seluruh platform, jaminan harga terendah, RM1 Crazy Flash Sale dan Crazy Brand Mega Offers.
Selain itu, pembeli juga berpeluang memenangi hadiah utama eksklusif dengan menjadi pelanggan paling pantas mengumpulkan LazCoin melalui halaman COINS di bahagian atas aplikasi atau melalui Daily Missions dan LazGames. — BERNAMA