Pilihan EditorTurun Naik

Dasar Lebih Kukuh Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi

Oleh Ndiame Diop

 

Tiada siapa dapat menduga bahawa COVID-19 menjadi krisis begitu besar dan menjejaskan ekonomi dunia pada 2020.

Bank Dunia menganggarkan 90 peratus ekonomi dunia mengalami penguncupan tahun ini.

Kemerosotan teruk yang berlaku bermakna berjuta-juta orang di seluruh dunia, termasuk di Malaysia akan terjejas akibat penyakit dan kehilangan pekerjaan serta mata pencarian.

Kesan pandemik ini dijangka menyebabkan peningkatan kemiskinan ekstrem global buat kali pertama sejak 1998. Perkembangan ini turut melenyapkan kemajuan dicapai sejak 2017.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ada tanda menggalakkan yang menunjukkan bahawa Malaysia mampu menangani krisis ini dengan lebih baik berbanding negara lain.

Ekonomi negara mempunyai asas kukuh. Struktur ekonomi yang pelbagai, sistem kewangan yang mantap dan langkah pengurusan kesihatan awam yang berkesan serta sokongan dasar makroekonomi yang proaktif membantu mengurangkan kesan pandemik.

Walaupun kita menjangka ekonomi akan menguncup ketara tahun ini, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) turun 3.1 peratus, termasuk penguncupan ketara pada suku kedua serta ketidaktentuan terhadap pemulihan ekonomi, kita masih ada harapan.

Kerajaan menggerakkan strategi enam peringkat yang mampu memacu semula ekonomi secara kukuh dan berdaya tahan.

Kita memasuki peringkat ‘pemulihan’ keempat yang menjadi asas kepada peringkat seterusnya dalam usaha menghidupkan dan membentuk semula ekonomi.

Ini bermakna kerajaan bukan sahaja berazam untuk keluar daripada krisis ini, tetapi juga untuk berada dalam kedudukan lebih baik berbanding sebelum ini supaya dapat menangani krisis lain pada masa akan datang.

Sejak sebelum krisis COVID-19, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mula berasakan bahawa pertumbuhan menjadi semakin tidak menyeluruh dengan kadar pertumbuhan pendapatan tidak sejajar dengan kos sara hidup.

Mereka juga berasakan ekonomi tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang mencukupi.

Terdapat juga kebimbangan standard tadbir urus perlu dipertingkatkan dan kualiti perkhidmatan awam tidak sebaik seperti diharapkan masyarakat kelas pertengahan yang semakin bertambah.

Kami cuba menyelami isu ini dalam edisi terkini Malaysia Economic Monitor, bukan sekadar melihat bagaimana negara dapat mengharungi krisis yang dibawa oleh wabak COVID-19, tetapi mengambil peluang daripada krisis ini untuk muncul dengan lebih gagah lagi.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, secara jangka pendek kerajaan mungkin perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi mereka yang sangat memerlukan, terutama isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas, walaupun sokongan dasar yang penting dilaksanakan.

Walaupun sesetengah aktiviti ekonomi akan meningkat semula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, pendapatan dan peluang pekerjaan akan mengambil masa untuk pulih, walaupun sesetengah bahagian ekonomi (seperti sektor perkilangan) akan menyaksikan pertumbuhan lebih cepat berbanding sektor lain (seperti pelancongan).

Ini mungkin bermakna bantuan kewangan tambahan perlu diberikan kepada golongan terjejas, terutama kumpulan B40 yang tiada wang simpanan dan rangkaian sokongan untuk berdepan kesan berpanjangan yang menjejaskan punca pendapatan mereka.

Krisis ini juga menekankan keperluan Malaysia mewujudkan sistem perlindungan sosial lebih kukuh dengan kos lebih berkesan serta dasar lebih bersepadu bagi meningkatkan kebajikan individu dan isi rumah ketika tempoh pemulihan dan pada masa depan.

Sistem berkenaan perlu menjamin tahap perlindungan minimum bagi mereka memerlukan, berupaya menangani keadaan yang berubah, menggalakkan pekerjaan dan mapan secara fiskal.

Pengumuman dibuat baru-baru ini untuk mengemas kini dan menaikkan garis kemiskinan Malaysia adalah satu langkah penting.

Dimensi kemiskinan bukan pendapatan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) seharusnya dinaikkan juga dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan datang.

Langkah ini akan membantu memaklumkan dasar dan program kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas menerima sokongan diperlukan.

Usaha untuk menyokong isi rumah yang terjejas bermakna mewujudkan ruang fiskal tambahan agar kerajaan mempunyai keupayaan menangani krisis lebih berkesan.

Walaupun sesetengah ruang boleh diwujudkan dengan memperuntukkan semula perbelanjaan awam bukan teras dan mengembangkan hasil bukan cukai (memastikan sumbangan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan untuk perbendaharaan), apa yang diperlukan adalah untuk menghentikan buat sementara had jumlah dan penggunaan pinjaman dikenakan oleh peraturan fiskal Malaysia.

Bagaimanapun, langkah ini memerlukan tindakan perundangan di Parlimen.

Secara jangka sederhana pula, langkah perlu diambil dengan menyediakan ekonomi untuk beroperasi di bawah normal baharu.

Ini bermakna memulihkan penampan fiskal Malaysia untuk bersedia menghadapi krisis akan datang.

COVID-19 melanda secara mengejut di mana Malaysia memiliki ruang belanjawan terhad untuk bertindak balas menerusi suntikan fiskal secara langsung.

Apabila ekonomi pulih nanti, langkah pembaharuan perlu diambil untuk meningkatkan hasil cukai (termasuk mencari sumber hasil baharu yang lebih progresif).

Fokus utama juga perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja dalam ekonomi baharu, serta merancakkan agenda digital dan mengurangkan jurang digital.

Malah, ketika sebelum krisis, kesedaran sudah wujud mengenai keperluan Malaysia untuk menganjakkan pendekatan persaingannya ke arah menarik pelaburan lebih berkualiti.

Cabaran ini kini menjadi semakin kritikal untuk ditangani.

Sekarang ialah masa untuk mengatur perubahan menyeluruh bagi membantu melonjakkan negara ke peringkat seterusnya untuk terus membangun pada tahun akan datang.

Usaha dijalankan Bank Dunia menunjukkan walaupun Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang, terdapat jurang besar dalam rangka kerja dasar yang menghalang negara mencapai potensi penuhnya – bahkan jurang ini menjadi lebih memudaratkan ketika krisis.

Maka, sekarang adalah masa untuk merancang dan melaksanakan dasar yang akan membantu meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, meningkatkan kualiti modal insan, meningkatkan daya saing, mewujudkan pekerjaan yang berkualiti, memodenkan institusi dan mempromosikan rangkuman melalui rangka kerja perlindungan sosial yang lebih kukuh, sesuai dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. – BERITA HARIAN

 

  • Penulis adalah Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Asia Timur dan Pasifik

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close