Duniaku Teknokrat

EPIC Bhd Catat Perolehan Lebih Besar Sebanyak RM344 Juta

Syarikat berkaitan kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd) mencatatkan perolehan sebanyak RM344 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, meningkat berbanding RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, pertumbuhan perolehan dijangka lebih baik tahun ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat.

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) yang kekal kukuh berjumlah RM81 juta mempamerkan kemampanan perniagaan syarikat untuk pertumbuhan dan keuntungan masa hadapan.

“Sorotan yang begitu memberangsangkan bagi tahun kewangan 2023 adalah lonjakan keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM8.9 juta, lebih sekali ganda daripada RM3.9 juta pada tahun kewangan 2022,” menurut EPIC Bhd susulan pengumuman keputusan kewangan berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43.

“Syarikat komited untuk meneruskan usaha memacu pertumbuhan dan memberikan nilai yang mampan kepada pemegang saham melalui projek dan pelaburan strategik berterusan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, EPIC Bhd mencatatkan perolehan sebanyak RM162.9 juta daripada Januari hingga Mei tahun ini, peningkatan 23 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Keuntungan kasar syarikat naik 42 peratus kepada RM67 juta manakala keuntungan sebelum cukai mencapai RM24 juta iaitu 5.7 kali lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu, katanya.

Melangkah ke hadapan, EPIC Bhd kekal optimis untuk mengekalkan trajektori positif dan komited dalam melaksanakan strategi perniagaan, katanya.

“Ini termasuk projek yang sedang berjalan dan dirancang terutama projek pembesaran Pelabuhan Kemaman, fasiliti pengitaran semula kapal dan pelantar hijau serta proses menaik taraf fasiliti pelabuhan untuk menampung peningkatan permintaan yang akan dipacu rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Syarikat juga sedang meneroka beberapa projek berprofil tinggi yang kini dalam proses bidaan di samping pelaburan berpotensi dari dalam dan luar negara untuk pemajakan tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong (Kemaman),” menurut kenyataan itu. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close