Oleh Kaki Bedal
Demokrasi dah mati.
Sebab di negara besar pun pihak berkuasa tidak lagi menghormati prinsip demokrasi.
Senang cakap, demokrasi itu prinsipnya ‘of the people, by the people and for the people’ atau ‘mengenai rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.’
Di satu negara besar itu sekarang ini, mereka sedang dibantai ombak ‘Zionis-krasi. Ia tidak mengejutkan kerana presiden negara itu sendiri mengaku ‘I am a Zionist’ (Saya seorang Zionis).
Tidak hairanlah persepsi bahawa negara itu juga berada dalam penjajahan Zionis dan membiarkan negara haram Israel bermaharajalela di bumi Palestin.
Mungkin ada yang hairan mengapa polis negara itu boleh bertindak menyuraikan bantahan pro-Palestin dengan cara kekerasan di universiti.
Ia tidak sukar untuk difahami kerana pelobi Yahudi sudah ‘membeli’ ramai anggota Kongres yang sudah tentu berkiblatkan Israel.
Antara buktinya, tak lama dulu ada seorang anggota Kongres yang masuk ke dewan dengan berpakaian seragam tentera Israel.
Ada juga angggota dewan yang bersungguh-sungguh menyokong Israel malahan mencadangkan keganasan untuk menundukkan penentangan penduduk Palestin terhadap penjajah Zionis.
Mengesahkan bahawa negara itu tidak peduli dengan undang-undang antarabangsa yang mereka sendiri pasarkan ialah kelulusan bantuan berbilion dolar Amerika kepada Israel baru-baru ini. Mereka juga kata mereka menyokong negara Palestin tetapi menggunakan ‘veto’ terhadap resolusi menerima Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Media Barat juga dua kali lima. Mereka tidak lagi berselindung atau segan silu untuk memberi sokongan kepada rejim ganas Israel.
Sebuah portal ‘The Intercept’ melaporkan akhbar New York Times (NYT) mengarahkan wartawannya yang membuat liputan mengenai Gaza seboleh-bolehnya tidak menggunakan perkataan ‘genocide’ (pembunuhan beramai-ramai) dan pembersihan etnik’ selain mengelak menggunakan perkataan wilayah ditakluki Palestin.
Analisis portal itu juga menambah, sehingga November 24, NYT melaporkan kematian warga Israel sebagai pembunuhan sebanyak 53 kali dan cuma sekali saja menggunakan perkataan itu untuk melaporkan kematian warga Palestin sedangkan lebih 15,000 warga Palestin mati dibunuh Israel.
Perkara yang sama dilakukan media di Britain. Pihak berkuasa Barat menerima bulat-bulat dakwaan Israel terhadap Hamas atau Palestin tanpa perlukan bukti kukuh.
Jadi, mereka – negara Barat – tidak lagi layak mempertahankan sikap mereka yang amat berat sebelah memihak kepada Israel. Merekalah pengganas dalam ertikata sebenar.
Jika masih ada pihak masih mahu memberi muka kepada Israel, baca saja kenyataan seorang tetamu pro-Israel di sebuah universiti baru-baru ini. Tak perlulah penulis ulas lebih panjang.
Cukup dengan berkata, orang seperti itu tidak sepatutnya diundang. – BACALAHMALAYSIA.MY
- Penulis sudah berkecimpung lebih tiga dekad dalam industri media dan menyokong usaha membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis