MalaysiaPilihan Editor

Hanya Akan Timbulkan Lebih Banyak Perpecahan Orang Melayu – Rais

Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menubuhkan sebuah lagi parti politik disifatkan hanya akan menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata asas penubuhan parti baharu itu juga dilihat kurang jelas.

“Dari segi realiti untuk menubuhkan parti politik bukan mudah dan ia memakan masa… lagipun, buat apa Tun mahu menubuhkan parti Melayu lagi sedangkan beliau pernah mengepalai BERSATU. Jadi saya kira paling baik ialah beliau kembali kepada BERSATU atau UMNO.

“Bagi saya, menubuhkan satu lagi parti Melayu sudah tidak ada alasan, sebab kita mahu mencari perpaduan… jika tidak, hak kita bawah Perlembagaan akan lumat. Kita menghormati beliau tentang inovatif tetapi dalam hal ini, rasanya tidak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Serlahan Budi Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Nilai-Nilai Murni Yayasan Budi di Taman Teluk Cempedak, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Rais berkata, beliau telah membuat permohonan rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, untuk menguatkuasakan larangan perbuatan menggunakan bahasa kasar, kurang ajar dan boleh menimbulkan kepimpinan negatif dalam kalangan Ahli Parlimen ketika bersidang.

“Jika berterusan berkelakuan sebegini, masyarakat kita akan habis… pelajar dan pemimpin bawahan akan mengikut yang akhirnya boleh menyebabkan negara terkenal dengan pemimpin berkelakuan tidak baik.

“Bagi menggalakkan kesopanan, kita mahu mencari ahli politik yang boleh dijadikan contoh dengan sahsiah keterampilan baik untuk diberikan hadiah ketokohan,” katanya.

Selain itu, Rais memaklumkan, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa kerja tulisan Jawi bagi melaksanakan pelbagai program memartabat dan membudayakan semula tulisan berkenaan.

“Pelaksanaannya dijangka menjelang sambutan Hari Malaysia. Kita hendak mempopularkan tulisan Jawi dengan mengadakan pelbagai pertandingan seperti mengarang, membuat poster dan nama jalan,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close