GovernansMalaysiaPilihan Editor

Reformasi Perkasa Parlimen Malaysia

Beberapa pembaharuan akan dilaksanakan bagi memperkasa Parlimen Malaysia, termasuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap Ahli Dewan Rakyat yang melanggar etika supaya institusi penggubal undang-undang negara dihormati.

Untuk mencapai matlamat itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, tekad mahu melakukan beberapa reformasi, termasuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan diskriminasi jantina.

Reformasi turut membabitkan cadangan supaya sesi persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selewat-lewatnya pada jam 8.30 malam setiap kali bersidang dan tidak lagi berlarutan sehingga tengah malam atau awal pagi keesokan hari.

Turut diubah aspek pemakaian di mana Ahli Parlimen tidak perlu lagi mengenakan tali leher dan pemakaian batik diteruskan pada Khamis.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga akan diperkasa untuk membantu kementerian yang berkaitan dalam membuat keputusan besar.

 

Mengulas lanjut, Johari berkata, selepas ini Ahli Parlimen yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan diskriminasi jantina di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bukan sahaja berdepan tindakan dikenakan hukuman digantung daripada sidang, malah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Katanya, ia berikutan tindakan segelintir Ahli Parlimen yang sebelum ini dilihat tanpa rasa bersalah dan segan silu mengeluarkan perkataan yang dilarang dalam Dewan, dengan ada antaranya ditujukan kepada Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua atau Ahli Parlimen lain.

Sehubungan itu, Johari yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 19 Disember lalu, berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi melihat secara khusus tindakan Ahli Parlimen ketika bersidang.

“Saya sudah berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai perkara ini. Jawatankuasa khas ini sudah ada di banyak negara.

“Jawatankuasa itu akan mempunyai garis panduan untuk rujukan Ahli Parlimen, termasuk yang berkaitan kenyataan berbentuk perkauman, menghina dan menggunakan perkataan yang dianggap seksis.

“Ketika ini, di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, denda RM1,000 boleh dikenakan bagi kesalahan sedemikian, namun ia tidak pernah digunakan. Malah, kita bercadang untuk meningkatkan lagi jumlah denda ini (melalui pindaan kepada akta itu).

“Selain itu, Ahli Parlimen yang terbabit juga boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, dengan hukuman maksimum digantung daripada Parlimen selama enam bulan, yang jarang digunakan Speaker sebelum ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH, baru-baru ini.

Cermin sikap Ahli Parlimen

Johari berkata, apa yang diucapkan Ahli Parlimen di dalam Dewan mencerminkan sikap mereka dan walaupun ia tidak melambangkan Dewan, ia memberi kesan kepada persepsi umum terhadap Parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang negara.

“Apa yang diperkatakan mencerminkan watak seseorang. Jika dia selalu bercakap celupar dan kotor, itulah cerminan terhadap pemikiran serta sikapnya.

“Saya ingin menegur mereka yang berkelakuan begini dan saya tidak akan benarkan perkara ini berterusan. Akhirnya, masa yang diperuntukkan untuk membincangkan mengenai pembangunan negara dan rakyat dihabiskan dengan bercakap perkara yang tidak perlu,” katanya.

Beliau turut meminta Ahli Parlimen kurangkan politiking di dalam dewan, sebaliknya menumpukan kepada isu rakyat.

“Kita harapkan kualiti daripada Ahli Parlimen kerana mereka adalah wakil rakyat, bukan parti.

“Jika mahu bercakap mengenai politik, cakap di luar Dewan sebab gaji dan elaun mereka, semuanya dibayar rakyat. Ia jumlah yang agak besar, jadi Ahli Parlimen mesti berlaku adil kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh persidangan, Johari menyifatkan persidangan sehingga lewat malam atau awal pagi sebagai tidak produktif, kecuali hal yang besar seperti bajet.

“Tempoh persidangan tidak perlu berlarutan jika ia diuruskan dengan baik, termasuk masa yang diperuntukkan untuk perbahasan dipatuhi setiap Ahli Parlimen.

“Kita tahu jumlah Rang Undang-Undang (RUU) yang ada untuk sesi ini dan jika kita betul-betul jaga masa yang diperuntukkan, semua Ahli Parlimen boleh berucap.

“Kalau setiap orang diberikan masa lima minit, maka lima minitlah. Sebelum ini, jika ada 20 orang nak bercakap, kita kurangkan masa kepada tiga minit seorang (jika tidak cukup masa), namun saya fikir masa itu terlalu singkat dan tidak membawa kesan kerana lebih baik jumlah yang bercakap itu dikurangkan, dengan masa yang lebih wajar,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close