I-Berhad merancang membangunkan menara kediaman kecerdasan buatan (AI) dan robotik pertama di dunia di i-City, Selangor, yang dijangka siap menjelang 2030.
Projek dikenali sebagai ‘AI Living di i-City’ itu akan menawarkan kira-kira 500 unit kediaman pintar yang direka untuk mengintegrasikan teknologi AI dan robotik humanoid dalam kehidupan seharian.
Menara berkenaan turut berfungsi sebagai platform pengkomersialan serta tapak ujian dunia sebenar bagi teknologi robotik humanoid, sekali gus mempercepatkan integrasi kecerdasan terkandung (embodied intelligence) dalam ekosistem kediaman.
Pembangunan itu adalah sebahagian daripada inisiatif ‘AI World di i-City’, yang disifatkan sebagai presint bandar dikuasakan AI pertama di Malaysia, menggabungkan infrastruktur sedia AI, sistem dipacu data serta teknologi robotik dalam komponen kediaman dan gaya hidup.
Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong, berkata inisiatif berkenaan berteraskan hasil komersial dan bukan sekadar demonstrasi teknologi, selaras dengan strategi jangka panjang syarikat untuk meningkatkan kecekapan operasi serta membezakan i-City sebagai penanda aras kediaman bandar sedia AI di negara ini.
“Pendekatan berteraskan teknologi ini akan diperluas secara progresif merentasi baki Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kumpulan yang dianggarkan sekitar RM5 bilion, bagi mengukuhkan ketahanan pendapatan berulang dan nilai aset jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain pembangunan hartanah, syarikat turut memperkenalkan ‘AI Learning’ di Pusat Pengalaman Dunia AI, iaitu platform imersif yang memberi pendedahan awal mengenai AI dan robotik kepada kanak-kanak serta generasi muda.
Dari segi prestasi kewangan, I-Berhad merekodkan lonjakan Keuntungan Sebelum Cukai sebanyak 80 peratus kepada RM77.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM42.8 juta pada tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat 2025, kumpulan mencatatkan hasil RM117 juta, meningkat 44 peratus berbanding suku sebelumnya, dengan segmen pembangunan hartanah muncul sebagai penyumbang utama menerusi hasil RM75.2 juta susulan kemajuan pembinaan yang dipercepatkan.
Segmen pelaburan hartanah pula menyumbang hasil stabil RM6.9 juta daripada sewaan aset di i-City, manakala segmen santai dan hospitaliti mencatatkan hasil RM33.8 juta.
Dengan saluran pembangunan yang besar serta rekod pelaksanaan kukuh, I-Berhad optimis secara berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan, disokong persekitaran ekonomi domestik yang stabil dan permintaan berterusan terhadap perbandaran bersepadu. – BH ONLINE




