Kerajaan serius dalam usaha meleraikan isu membabitkan industri minyak sawit negara yang boleh memberi impak sekiranya tidak ditangani, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ketika memberi jaminan itu, beliau berkata isu berkaitan alam sekitar dan sosial misalnya boleh menjejaskan potensi eksport, terutamanya dalam kedudukan negara yang menghasilkan 18.5-18.6 tan metrik minyak sawit mentah (MSM).
Malah, jelas beliau, ini akan turut menjejaskan kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menerima manfaat daripada industri berkenaan dari segi kutipan cukai selain turut memberi kesan ke atas hampir sejuta pekerja dan 450,000 pekebun kecil di seluruh negara.
“Untuk makluman bersama, kita sedang menghadapi isu besar dunia pada masa ini. Anda tidak melihatnya sebelum ini, namun dalam tempoh 15 tahun lepas, ke mana pun anda pergi, orang akan bercakap mengenai alam sekitar.
“Jika isu ini tidak ditangani, kita juga yang akan terjejas. Oleh itu, kerajaan perlu mengaudit (di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kilang Penapisan Sarawak Oil Palms 2 di Fasa 2 Kawasan Perindustrian Kidurong di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Johari berkata Malaysia juga tidak boleh dikenakan tindakan penalti jika didapati tidak mematuhi prinsip dan kriteria Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO).
“Dalam setiap kesempatan menemui wakil Kesatuan Eropah (EU), saya sentiasa tekankan jika mereka tidak berpuas hati dengan isu di Malaysia, maka mereka sepatutnya bekerjasama erat dengan kita bagi membolehkan negara seperti kita menjadi penanda aras dunia dari segi minyak makan.
“Ini memandangkan bagi setiap hektar tanah yang digunakan, kita boleh menghasilkan 3.3 juta tan minyak makan berbanding minyak soya, minyak biji sesawi atau minyak bunga matahari yang hanya menghasilkan kurang daripada satu tan sehektar minyak berkenaan,” katanya.
Malah, Johari berkata Malaysia juga bersedia untuk berbincang dengan wakil terbabit mengenai usaha penambahbaikan dan menjadi contoh kepada dunia dalam usaha pengeluaran minyak makan.
Pengeluaran minyak sawit, katanya, adalah sebuah industri penting di Malaysia yang dapat melonjakkan ekonomi negara menerusi aktiviti huluan dan hiliran berkaitan. – BERNAMA