Duniaku TeknokratPilihan Editor

Abdul Taib ‘Arkitek Ekonomi Sarawak’, Dana Rizab RM31 Bilion Semasa Kepemimpinannya

Bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud meninggalkan legasi yang kukuh untuk ekonomi negeri itu, apabila berjaya meletakkan dana rizab negeri sebanyak RM31 bilion pada 2018.

Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Nancy Shukri yang berkongsi perkara itu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, berkata dengan rizab sebanyak itu, kerajaan Sarawak tidak berasa risau apabila tiba-tiba menjadi pembangkang ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan, susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

“Sebelum ini banyak (dakwaan) yang diperkatakan mengenai beliau (sewaktu menjadi Ketua Menteri), tetapi apabila BN kalah pada PRU 2018 dan beliau tidak lagi menjadi Ketua Menteri, ketika itu maka timbullah kebenaran terhadap apa yang beliau usahakan untuk Sarawak, berbanding dengan mana-mana negeri di Malaysia kerana dana rizab ketika itu ialah RM31 bilion.

“Masa itu, Sarawak yang mempunyai banyak dana rizab yang boleh digunakan apabila kita tidak lagi berada dalam Kerajaan Persekutuan masa itu dan telah menjadi pembangkang.

Pakar ekonomi itu berkata dengan pemikiran ke depan, Abdul Taib telah mewujudkan beberapa kawasan industri di Sarawak, antaranya Sama Jaya High-Tech Park di Kuching dan Samalaju Industrial Park (Bintulu), bagi menarik kedatangan pelabur luar ke negeri berkenaan.

Lau berkata, langkah itu dirintiskan kerana Abdul Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak paling lama iaitu selama 33 tahun, tidak mahu menunggu sokongan daripada Kerajaan Persekutuan semata-mata bagi menarik pelabur asing, sebaliknya berpendirian bahawa Sarawak perlu mempunyai alternatif sendiri.

“Hasil kewujudan kawasan industri itu, banyak syarikat luar (asing) telah membuka kilang di sini (Sarawak), sekali gus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, yang membantu penduduk Sarawak meningkatkan ekonomi mereka dan merintis laluan untuk pemindahan teknologi baru. Ini perancangan jitu beliau.

“Beliau enggan bergantung sepenuhnya terhadap peruntukan pembangunan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan setiap tahun, sebaliknya menegaskan Sarawak mesti mempunyai hasil sendiri melalui aktiviti eksport, yang hasilnya boleh diterjemahkan dalam bentuk tambah lain untuk pembangunan luar bandar, infrastruktur dan kegiatan ekonomi,” katanya.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di sini kira-kira 4.40 pagi semalam dan jenazahnya selamat dikebumikan pada 2.19 petang, hari ini di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya di Kuching, Sarawak. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close