GovernansMalaysiaPilihan Editor

Malaysia Eksport Lebih RM33 Bilion Getah, Produk Berkaitan Setiap Tahun – Johari Ghani

Malaysia mencatatkan lebih RM33 bilion nilai eksport getah dan produk berasaskan getah setiap tahun, dipacu oleh kekuatan teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata meskipun Malaysia mengimport purata RM7.5 bilion getah asli setahun berikutan kekurangan pengeluaran dalam negara, keupayaan dalam teknologi hiliran serta pemprosesan membolehkan negara terus mengekalkan eksport bernilai tinggi itu.

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan bahawa walaupun kekurangan sumber getah asli, namun usaha mengukuhkan industri yang berusia lebih 100 tahun membolehkan Malaysia mencipta kekuatan dalam teknologi dan R&D.

Justeru, menurutnya berdasarkan kemampuan itu, sasaran eksport tahun depan boleh dicapai bergantung kepada pertumbuhan ekonomi global.

Jika ekonomi dunia berkembang sekitar tiga hingga empat peratus, permintaan terhadap produk kita juga dijangka meningkat pada kadar yang hampir sama.

“Nilai tambah yang terhasil melalui teknologi, inovasi dan keupayaan pemprosesan tempatan membolehkan kita mencipta produk bernilai tinggi untuk pasaran dunia dan inilah kekuatan eksport kita,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan 100 tahun Penyelidikan Getah di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Mengulas lanjut, Johari berkata, aspek kelestarian turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan industri getah.

Beliau berkata, dalam era terkini yang menyaksikan ramai pengguna menitikberatkan pengeluaran agrikomoditi secara mampan, LGM memperkenalkan inisiatif ‘Malaysian Sustainable Natural Rubber’ (MSNR) yang menekankan prinsip kemampanan, kebolehjejakan, ketelusan dan tanggungjawab sosial serta ekonomi kitaran.

“MSNR penting untuk menjamin kelangsungan kebolehpasaran produk-produk getah Malaysia di negara-negara yang mempunyai piawaian kemampanan tinggi,” katanya.

Beliau menambah, antara peranan penting LGM ialah memastikan sumber getah yang diimport diperoleh daripada pengeluar yang mengamalkan kelestarian.

Menurutnya, Malaysia kini mengimport getah asli dari Thailand, Vietnam, Ivory Coast dan beberapa negara lain.

Namun, katanya masih terdapat kekurangan maklumat mengenai amalan kelestarian yang dilaksanakan di negara sumber dan ini menjadi cabaran besar ketika ini.

“Bagi negara yang kurang produk getah lestari, saya mencadangkan kepada LGM agar berkongsi R&D dan teknologi yang kita ada dengan mereka.

“Apabila kita mendapatkan bekalan daripada negara sumber, kita perlu membimbing mereka tentang piawaian kelestarian dan memperkenalkan sistem ‘traceability’ supaya mereka boleh meningkatkan nilai produk dengan mematuhi keperluan terbabit,” katanya.

Johari berkata, strategi LGM 2026-2030 juga akan menekankan kepentingan automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI), pemetaan geospatial, dan digitalisasi rantaian bekalan.

Beliau berkata, teknologi itu bakal membuka laluan baharu kepada industri getah untuk menjadi lebih pintar, mesra alam dan berdaya saing di peringkat global.

Menurutnya, penyelidikan dalam teknologi termaju mesti menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani cabaran industri seperti kebergantungan pengeluaran kepada pekebun kecil, harga pasaran antarabangsa yang tidak menentu serta stok yang meningkat.

“Bagi memastikan kelangsungan, kita perlu memperkukuh usaha pemindahan teknologi, meningkatkan kecekapan ladang, memodenkan sistem penuaian dan mempelbagaikan produk hiliran.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi komited untuk memperkukuhkan penyelidikan, memperluas pembangunan hiliran, memperkasa digitalisasi ladang serta memastikan pekebun kecil tidak ketinggalan dalam arus transformasi ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close