Pilihan EditorTwo Cents

Lim Kok Wing – Jenama Unggul Di Dalam Dunia Pendidikan & Inovasi Pembangunan Modal Insan

Oleh wartawan Pendidikan BacalahMalaysia.my

 

TIDAK pernah terlintas di fikiran pengasas Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing bahawa namanya akan menjadi sebutan di dunia pendidikan tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Malah, bagi sesetengah negara di benua Afrika, Universiti Limkokwing dan Kok Wing  bagaikan satu impian kepada generasi muda negara tersebut membantu mendidik anak bangsa dan seterusnya menjadi tenaga penting dalam memajukan negara dalam bidang pendidikan  negara tersebut.

Sedangkan menurut Kok Wing ketika mula-mula menubuhkan Universiti Limkokwing yang pertama di Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur pada 45 tahun lalu dan akhirnya tersergam kampus baharu di Cyberjaya, niatnya cuma satu iaitu untuk menyediakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dengan ilmu dan kemahiran yang mampu memenuhi permintaan industri kreatif dan inovasi pendidikan tinggi negara ini.

Mempunyai penampilan yang gemar memakai pakaian berwarna hitam dan gaya yang unik, Kok Wing ,74, tahun tidak pernah merasa jemu untuk bekerja dan tidak pernah terfikir untuk berhenti melebarkan sayap Universiti Limkokwing ke seluruh dunia.

Beliau juga tidak pernah menjangkakan Universiti Limkokwing berjaya mencipta nama di persada antarabangsa dan diterima sebagai jenama global di Afrika dan standing dengan jenama Petronas dan Malaysia Airlines (MAS).

Berasaskan harapan dan cita-cita Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, menurut Kok Wing, beliau telah membina satu visi diri untuk bekerjasama dengan rakyat Afrika bagi memajukan generasi pemimpin dan pemikir muda Afrika  untuk membina modal insan Afrika.

“Saya gembira melaksanakan tanggungjawab ini untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Saya melakukan ini untuk mengubah kehidupan mereka agar lebih baik dan terjamin pada masa depan.

“Tetapi saya juga bertanggungjawab untuk memberi peluang pendidikan kepada rakyat Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Limkokwing di Malaysia.

“Saya suka melakukan perkara ini kerana ia sesuatu yang saya suka dan menghargai kepelbagaian budaya yang unik.

“Apabila anda menyukai apa yang ada lakukan anda menghargai keunikan rakyat Afrika, anda tidak akan merasa seperti sedang bekerja.

“Sebaliknya, ia akan terasa seperti anda melakukan kebaikan kepada orang lain. Saya tidak pernah rasa penat dan jemu dengan Universiti Limkokwing untuk membantu semua,” ujar beliau lagi.

Kok Wing yang juga memulakan kerjaya melalui rangkaian agensi pengiklanan tempatan pertama Malaysia, pernah bekerjasama pada tahun 1994 dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed apabila  ditugaskan untuk membantu  kempen pilihan raya bebas pertama Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela daripada Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC)  sehingga menang dalam pilihanraya tersebut.

 “Saya masih ingat kata-kata Mandela ketika itu iaitu lelaki ini (Kok Wing) datang dari negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, jadi dia tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup bersama-sama. Kita mesti membawa semua rakyat kita hidup bersama-sama.” katanya.

Dalam kempen itu, Kok Wing mencadangkan  kepada parti ANC pimpinan Mandela untuk menggunakan pendekatan mesra.

Ia dibuktikan apabila munculnya poster yang menunjukkan Mandela tersenyum bersama kanak-kanak Afrika Selatan, termasuk yang berkulit putih. Poster ini popular di Afrika Selatan pada masa tu.

Di peringkat Malaysia pula, Kok Wing pernah mengelolakan beberapa program dan kempen anjuran kerajaan seperti kempen anti merokok “Tak Nak” dan mempromosikan Rakan Muda serta program Satu Hati, Satu Negara, 1 Malaysia.

Berbicara lanjut dengan lelaki yang meminati dunia seni kreatif ini, jelas tergambar semangat cintakan tanah air yang dizahirkan pada setiap patah kata-katanya.

“Ramai yang terlalu memikirkan tentang keuntungan, sedangkan keuntungan dan kejayaan boleh ditafsir dengan pelbagai cara dan bukannya melalui wang ringgit sahaja.

“Apabila saya menubuhkan  Universiti Limkokwing yang pada asalnya adalah sebuah kolej yang kecil, saya lakukannya kerana mahu anak-anak Malaysia mempunyai tempat untuk mengembangkan bakat mereka seiring dengan permintaan pasaran.

“Dan apabila Universiti Limkokwing mula berkembang ke luar negara, saya sebenarnya sedang membawa nama Malaysia bersama. Apa yang saya lakukan di luar Malaysia, bukan kerana  Universiti Limkokwing sahaja sebaliknya atas nama negara,” katanya.

Menurut Kok Wing, sambutan yang diterima dan ucapan terima kasih oleh bekas graduan, siswazah dan kerajaan dari negara-negara yang telah mendapat manfaat daripada penubuhan Universiti Lim Kok Wing membuatkan beliau sangat teruja dan bangga.

“Saya bangga apabila orang mengenali negara ini dan menghormati kaedah pembelajaran yang dihasilkan dari sini dan apa yang penting, saya amat bangga apabila terdapat negara-negara terutama di benua Afrika dan United Kingdom melihat Universiti Limkokwing dan Malaysia bagaikan satu cahaya yang bakal membawa mereka keluar dari kemiskinan dan kemunduran.

“Sebagai seorang individu, saya sudah lengkap dan tidak perlukan apa-apa lagi tetapi kerana cintakan negara dan mahu Malaysia terus terkenal di mata dunia, saya tetap akan terus berusaha,” ujarnya dengan penuh semangat.

Universiti Limkokwing terus maju sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi swasta di Malaysia. Sehingga kini Universiti Limkokwing telah membuka cawangan di luar negara termasuk di benua Afrika.

Sejak ditubuhkan , Universiti Limkokwing  yang telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan membanggakan turut mempunyai cawangan di London.

Lebih membanggakan, terdapat beberapa lagi kampus di beberapa negara di Amerika Selatan, Asia Tengah dan Afrika kini dalam peringkat cadangan untuk dibuka sebagai sebahagian daripada perancangan masa hadapan.

Universiti Limkokwing menjadi kolej swasta pertama yang diiktiraf sebagai Kolej Universiti. Di mana ia menempatkan hampir  50  kelab mewakili pelajar dari negara-negara seperti Pakistan, Botswana, China, Indonesia, India, Iran dan Sri Lanka.

Universiti Limkokwing yang dinamakan sempena nama pengasasnya, kini mempunyai 100,000 pelajar dari lebih 165 negara.

Universiti Limkokwing di Cyberjaya yang menempatkan kira-kira 9,500 pelajar, dan daripada jumlah pelajar itu, kira-kira 80 peratus daripadanya adalah pelajar antarabangsa turut mendapat peniktirafan daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), selain Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Negara-Negara Komanwel (Komanwel). – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close