GovernansPilihan Editor

Malaysia Sasar Jadi ‘Raja Coklat Asia’

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai Raja Coklat Asia dengan mengetengahkan kelainan rasa komoditi itu.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata sasaran itu turut bersandarkan kedudukan Malaysia sebagai negara pengisar koko kedua terbesar di Asia dan pemilikan tanah untuk dipelbagaikan dengan tanaman koko.

“Kita memiliki tanah untuk menanam koko hasil daripada langkah mempelbagaikan tanaman lain termasuk kelapa. Jadi, kita memiliki ruang untuk membangunkan benih sumber tunggal.

“Mengapa saya kata Raja Coklat Asia? Kita boleh bangunkan benih sumber tunggal yang memiliki kelainan rasa apabila ditanam di tempat berbeza di seluruh negara. Ia akan menjadikan coklat Malaysia istimewa di dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, KPPK dalam perancangan dan peringkat rundingan untuk menjalinkan beberapa kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak industri dan universiti dalam usaha memperluaskan tanaman koko serta pembangunan teknologi dan produk berasaskan koko.

“KPPK berharap melalui perancangan dan strategi yang betul, usaha mengembalikan kegemilangan tanaman koko negara dapat dicapai dan industri huluan serta hiliran koko mampu menyumbang kepada ekonomi negara dengan jumlah yang signifikan sebagai antara komoditi utama dalam jangka masa panjang.

“Ketika ini, keluasan tanaman koko negara adalah 5,897 hektar yang mampu menghasilkan 1,500 tan koko setahun,” katanya.

MoA di antara LKM dan PPK Bagan Datuk adalah untuk melaksanakan Projek Pembangunan Lestari Tanaman Koko secara integrasi dengan tanaman kelapa meliputi kawasan tanah di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko (PPPK) LKM, Bagan Datuk seluas 28.3 hektar.

PPK Bagan Datuk akan mengusahakan tanaman manakala LKM akan memberi khidmat nasihat teknikal penanaman koko secara integrasi dan memastikan konsep tanaman integrasi itu mendapat pulangan yang menguntungkan.

Mohd Khairuddin berkata, usaha tanaman secara ‘mini estet’ itu akan dijadikan rujukan untuk rancangan kerjasama LKM dengan agensi dan syarikat lain di masa hadapan.

“Bagi MoU antara LKM dan UMP pula, mereka akan kerjasama untuk menjalankan kajian penyelidikan bagi menghasilkan ekstrak koko, membangunkan produk penjagaan kesihatan berasaskan ekstrak koko serta membangunkan teknologi e-nose sensor (menggunakan sistem kecerdasan buatan) bagi memperkasakan pemeriksaan kualiti biji koko melalui pengecaman bau, rasa serta profil bahan aktif.

“Kerjasama ini, hasil penyelidikan dan maklumat berkaitan koko yang dikumpul oleh LKM akan dapat digunakan untuk membangunkan produk akhir dan teknologi yang lebih baik melalui perkongsian kepakaran pihak UMP.

“Selain itu, kerjasama berkenaan juga akan meningkatkan kemahiran dan kepakaran penyelidik serta pelajar universiti,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close