Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: ES90 – Volvo Car Malaysia Melakar Era Baharu Sedan Elektrik Premium

Sedan elektrik premium sepenuhnya pertama Volvo membuat penampilan sulung di Malaysia dengan jarak pemanduan sehingga 651 km (WLTP) ¹ dan teknologi pengecasan pantas 800-volt

Volvo Car Malaysia membuka lembaran baharu dalam perjalanan elektrifikasinya dengan pelancaran rasmi Volvo ES90, sedan elektrik sepenuhnya pertama jenama ini di Malaysia pada 22 Januari 2026.

Dipasang secara tempatan di Shah Alam, ES90 bukan sekadar model baharu, tetapi satu manifestasi hala tuju Volvo dalam mentakrifkan semula mobiliti premium melalui rekaan Scandinavia, teknologi keselamatan generasi terkini dan pengalaman digital yang lancar.

Volvo ES90 kini boleh dilihat di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara bermula 22 Januari 2026, dengan harga bermula dari RM339,888. Sebagai penghargaan kepada pelanggan terawal yang menyertai fasa baharu ini, Volvo Car Malaysia menawarkan insentif early-bird 2%, terhad kepada 100 unit pertama yang ditempah sebelum 31 Mac 2026.

Chris Wailes, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia dan Thailand, berkata:
“Selama enam dekad, Volvo telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Malaysia. Hari ini, kami membuka lembaran baharu dengan ES90.

Inilah kereta untuk individu yang menghargai keseimbangan – menggabungkan imej eksekutif sebuah sedan premium dengan kelestarian serta prestasi teknologi elektrik terkini kami. Ia dipasang secara tempatan, bertaraf global, dan direka untuk memberikan ketenangan serta perlindungan menyeluruh, selari dengan falsafah keselamatan Volvo.”

Direka untuk Kehidupan yang Seimbang

Volvo ES90 direka sebagai sebuah ruang perlindungan di atas jalan raya. Menggabungkan fleksibiliti rekaan fastback dengan keluasan sebuah SUV, ia menawarkan ruang kaki yang lapang serta suasana dalaman seakan “ruang tamu”, diterjemahkan melalui sentuhan rekaan Scandinavia yang minimalis dan sofistikated.

Di sebalik penampilannya yang elegan, ES90 dibina di atas seni bina 800-volt paling canggih Volvo. Bagi pemandu di Malaysia, ini bermaksud masa pengecasan yang jauh lebih singkat – ES90 mampu dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 22 minit menggunakan pengecas pantas DC 350 kW3.

Dengan satu cas penuh, ES90 menawarkan jarak pemanduan sehingga 651 km (WLTP), membolehkan perjalanan antara negeri seperti Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau Johor Bahru dilakukan dengan yakin, tanpa kebimbangan jarak.

Yakin, Ikonik dan Praktikal

Dilihat dari sisi, Volvo ES90 menampilkan pendirian yang kemas dan berkarakter. Ketinggian kenderaan yang sedikit lebih tinggi memberikan pandangan pemanduan yang lebih yakin, manakala garis bumbung yang mengalir mengekalkan proporsi elegan tanpa menjejaskan ruang kabin. Reka bentuk aerodinamik ini turut menyumbang kepada kecekapan keseluruhan dan jarak pemanduan elektrik.

Di bahagian hadapan, lampu utama Thor’s Hammer tampil dengan interpretasi moden, mengekalkan DNA rekaan Volvo yang kemas dan berkarakter. Bahagian belakang pula menonjol dengan lampu LED berbentuk C, dipadankan dengan pencahayaan LED pada cermin belakang yang menghasilkan animasi cahaya alu-aluan dan perpisahan yang unik.

Pelanggan boleh memilih daripada empat warna luaran: Vapour Grey, Crystal White, Denim Blue dan Onyx Black.

Aspek praktikal diperkukuhkan dengan bukaan pintu belakang yang besar dan lebar, memudahkan pemuatan barangan keluarga atau peralatan aktiviti. Ruang but menawarkan kapasiti sehingga 424 liter, dan boleh diperluaskan kepada 904 liter dengan tempat duduk belakang 40/20/40 dilipat rata. Tambahan pula, ruang simpanan hadapan 27 liter disediakan khusus untuk kabel pengecas.

Keselesaan dan Fungsi Menyeluruh Dalam Kabin

Ruang dalaman ES90 memfokuskan kepada keselesaan premium, material autentik dan reka bentuk berteraskan fungsi – selari dengan identiti Scandinavia Volvo. Jarak roda sepanjang 3.1 meter menyediakan ruang kaki baris kedua yang luas, memastikan keselesaan optimum untuk penumpang dewasa dan kanak-kanak.

Enam tema pencahayaan ambien dalaman direka untuk meningkatkan kesejahteraan deria, dipadankan dengan upholsteri Nordico berpengudaraan dalam kemasan Charcoal.

Bumbung panoramik kaca elektrokromik menawarkan perlindungan UV sehingga 99.9 peratus. Dengan satu sentuhan, tahap ketelusan kaca boleh dilaraskan bagi mengurangkan silau dan meningkatkan privasi.

Keselesaan dipertingkatkan lagi dengan sistem kawalan suhu empat zon serta penapis udara canggih yang mampu menapis sehingga 95 peratus zarah PM2.5 dan menyingkirkan 99.9 peratus alergen debunga, rumput dan pokok daripada kabin.

Volvo ES90 juga direka untuk kesenyapan luar biasa, menjadikannya antara kabin paling senyap pernah dihasilkan oleh Volvo. Ini membolehkan penghuni menikmati sepenuhnya sistem audio Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara berprestasi tinggi, menghasilkan 1,610 watt bunyi imersif. Teknologi Dolby Atmos® mewujudkan pengalaman bunyi spatial realistik, manakala mod eksklusif Abbey Road Studios menghidupkan semula akustik studio rakaman legenda di London.

Teknologi Pintar yang Berkembang Bersama Masa

Volvo ES90 merupakan model Volvo pertama yang dikuasakan oleh platform pengkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin. Platform ini mampu memproses data pada skala trilion operasi sesaat, bertindak sebagai pusat pengkomputeran utama yang menyokong sistem keselamatan, bantuan pemanduan dan operasi kenderaan secara masa nyata.

Dibangunkan berasaskan Superset technology stack Volvo, ES90 direka untuk terus berevolusi melalui kemas kini over-the-air (OTA), merangkumi peningkatan kecekapan tenaga, sistem infotainmen dan fungsi digital lain – memastikan pengalaman pemilikan kekal relevan untuk jangka panjang.

Sistem infotainmen generasi baharu dengan Google terbina dalam merangkumi Google Maps, Google Assistant dan akses aplikasi melalui Google Play. Dikuasakan oleh Snapdragon® Cockpit Platform daripada Qualcomm Technologies, sistem berkeupayaan 5G ini menawarkan pengalaman yang pantas dan lancar merentasi paparan pemandu 9 inci, paparan head-up dan skrin sentuh tengah bersaiz 14.5 inci.

Bagi memudahkan pergerakan di ruang sempit, ES90 dilengkapi paparan pandangan sekeliling 3D yang disokong sistem kamera 360 darjah.

Seni bina 800-volt yang ringan turut meningkatkan kecekapan dan prestasi keseluruhan, menyumbang kepada pekali seretan hanya 0.25. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam 6.6 saat, mengimbangi keselesaan dengan prestasi responsif.

Kelestarian Sebagai Keutamaan

Teknologi bateri hanyalah sebahagian daripada komitmen kelestarian Volvo ES90. Model ini turut menyokong aspirasi alam sekitar Volvo Cars melalui penggunaan meluas bahan kitar semula dan bahan semula jadi.

Sebanyak 29 peratus aluminium dan 18 peratus keluli yang digunakan adalah daripada sumber kitar semula. ES90 juga mengandungi 16 peratus polimer kitar semula dan bahan berasaskan bio, manakala panel kayu dalaman diperoleh daripada sumber yang diperakui FSC – menyumbang kepada pengurangan pelepasan CO₂ sepanjang proses pengeluaran.

Safe Space Technology, Dalam dan Luar Kenderaan

Selaras dengan warisan keselamatan Volvo, ES90 direka untuk melindungi semua individu di dalam dan sekitar kenderaan. Dibangunkan berdasarkan Volvo Cars Safety Standard, ES90 memanfaatkan lebih lima dekad kepakaran keselamatan dunia sebenar, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi sedan elektrik premium.

Ia dilengkapi struktur badan kukuh, sistem pengekang canggih serta zon remuk yang dioptimumkan. Keselamatan aktif disokong oleh rangkaian sensor menyeluruh terdiri daripada lima radar, tujuh kamera dan dua belas sensor ultrasonik, membolehkan pengesanan potensi bahaya melebihi keupayaan penglihatan manusia.

ES90 turut dilengkapi sistem pemantauan pemandu Volvo yang mampu mengesan apabila tumpuan pemandu terganggu dan mengambil tindakan sokongan apabila diperlukan.

Perlindungan Safe Space Technology turut melangkaui pemanduan. Apabila kenderaan diparkir, sistem amaran bukaan pintu membantu melindungi penunggang basikal dan pejalan kaki dengan memberi amaran sebelum pintu dibuka.

Spesifikasi Utama Sekilas Pandang

  • Platform: SPA2 dengan Seni Bina 800V
  • Jarak Pemanduan: Sehingga 651 km (WLTP)
  • Pengecasan: 10 – 80% dalam 22 minit (DC Fast Charging)
  • Audio: Sistem Audio Hi-Fi Bowers & Wilkins dengan Dolby Atmos
  • Infotainmen: Skrin tengah 14.5 inci dengan Google terbina dalam

Volvo ES90 kini dibuka untuk tempahan. Pelanggan boleh mengkonfigurasi kenderaan mereka dan membuat pesanan secara dalam talian atau mengunjungi pengedar Volvo terdekat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Volvo ES90 atau rangkaian kenderaan elektrik Volvo Car Malaysia, sila layari www.volvocars.com/my atau ikuti kami di Facebook di bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di bit.ly/VolvoMY-IG.- BACALAHMALAYSIA.MY

**********************************************************************************************

Mengenai Volvo Car Malaysia    

Volvo Cars mula bertapak di Malaysia pada awal tahun 1960-an sebelum secara rasmi menubuhkan Volvo Car Malaysia pada tahun 1999. Sejak itu, Volvo Car Malaysia terus berkembang pesat dan kini mempunyai rangkaian 14 pengedar di seluruh negara.

Permintaan tinggi terhadap kenderaan Volvo di Malaysia telah membawa kepada penubuhan Volvo Car Manufacturing Malaysia pada tahun 1967, yang kini merupakan kilang pemasangan kenderaan tertua dan paling lama beroperasi di Malaysia. Pada tahun 2016, Volvo Car Malaysia menjadi pasaran pertama di luar Sweden yang memasang XC90 PHEV secara tempatan. Langkah ini membuka jalan kepada pemasangan model PHEV Volvo yang lain sambil terus menawarkan pengalaman pemanduan yang mampan dan selamat.

Volvo Car Malaysia menawarkan model kenderaan segmen premium dalam dua kategori utama: sedan (S60 dan S90) serta SUV (EX30, C40, XC40, XC60 dan XC90).

Pada Februari 2021, Volvo Car Malaysia menjadi jenama automotif pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian penuh kenderaan elektrik plug-in hybrid (PHEV) untuk semua modelnya. Selaras dengan visi global Volvo Cars untuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2040, Volvo Car Malaysia komited untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai cabaran iklim semasa. Syarikat ini juga berusaha menjadi peneraju dalam kelestarian industri.

**************************************************************************************************

Volvo Cars pada tahun 2024

Bagi tahun penuh 2024, Volvo Car Group mencatatkan keuntungan operasi teras tertinggi sebanyak SEK 27 bilion. Pendapatan bagi tahun tersebut mencapai rekod tertinggi sepanjang masa sebanyak SEK 400.2 bilion, sementara jumlah jualan global mencecah 763,389 unit kenderaan, satu lagi pencapaian tertinggi dalam sejarah syarikat.

***************************************************************************************************

Mengenai Volvo Car Group

Volvo Cars ditubuhkan pada tahun 1927. Hari ini, ia merupakan salah satu jenama automotif paling terkenal dan dihormati di dunia, dengan kehadiran di lebih 100 negara. Volvo Cars disenaraikan di bursa saham Nasdaq Stockholm dengan simbol dagangan “VOLCAR B”. “For life. To give people the freedom to move in a personal, sustainable and safe way.” Kenyataan ini mencerminkan aspirasi Volvo Cars untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik sepenuhnya dan komitmennya dalam mengurangkan jejak karbon secara berterusan, dengan sasaran untuk mencapai emisi sifar bersih menjelang tahun 2040.

Sehingga Disember 2024, Volvo Cars mempunyai kira-kira 42,600 pekerja sepenuh masa. Ibu pejabat, pusat pembangunan produk, pemasaran dan pentadbiran terletak di Gothenburg, Sweden. Sementara itu, kemudahan pengeluaran Volvo Cars berada di Gothenburg, Ghent (Belgium), South Carolina (AS), Chengdu, Daqing dan Taizhou (China). Volvo Cars juga mempunyai pusat R&D dan reka bentuk di Gothenburg dan Shanghai (China)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close