Pilihan EditorTurun Naik

Vaksin Kurangkan Komplikasi, Bukan Jadikan Kita ‘Superman’

Oleh Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani

 

Apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan 40 pekerja sektor kesihatan yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dijangkiti virus maut itu, ramai yang terkeliru.

Lalu, digembar-gemburkanlah bahawa program pemberian vaksin dilancarkan kerajaan gagal. Hujah diberikan golongan terbabit mudah, kononnya tidak ada guna untuk mengambil vaksin kerana ia tidak mampu mencegah jangkitan.

Hakikatnya, semua ini sebenarnya sudah pun dijangka sejak awal lagi. Malah, kerajaan sudah berkali-kali menegaskan bahawa vaksin bukannya 100 peratus berkesan untuk menghalang jangkitan.

Namun, pokok pangkalnya angka 40 kes jangkitan dalam kalangan pekerja sektor kesihatan selepas pengambilan vaksin ini masih dalam lingkungan kecil, berbanding ribuan dijangkiti sebelum pemberian vaksin dilakukan.

Inilah juga yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan beberapa hari lalu, bahawa lebih kurang 5,800 individu yang sudah menerima vaksin COVID-19 mendapat jangkitan, berbanding kira-kira 77 juta orang di negara itu yang sudah melengkapkan semua dos suntikan.

Sebenarnya jangkitan tetap boleh berlaku, walaupun selepas seseorang itu sudah menerima vaksin, tetapi ketahanan yang terbina (95 peratus sekiranya vaksin daripada keluaran Pfizer) akan membantu badan penerima vaksin untuk melawan jangkitan.

Perlu diketahui, apabila vaksin diberikan kepada seseorang individu, ia akan merangsang sel di dalam badan membina imuniti atau ketahanan badan.

Bahan dalam vaksin ini sama ada dihasilkan secara sintetik seperti vaksin Cominarty keluaran Pfizer ataupun vaksin daripada virus nyahaktif seperti Sinovac akan bertindak sebagai antigen yang berfungsi merangsang ketahanan badan.

Ketahanan badan ini sangat diperlukan apabila mereka yang menerima vaksin ini mendapat jangkitan.

Pendek kata, vaksin ini melawan jangkitan itu sekiranya terjangkit. Inilah cara vaksin berfungsi.

Dalam memberi kefahaman, saya lebih suka menggunakan analogi pemakaian tali pinggang keledar untuk menaiki kenderaan dalam penerangan saya mengenai perlindungan diberikan oleh vaksin.

Vaksin bertujuan melindungi kita dengan menghalang jangkitan teruk menerus imuniti yang dibina bagi melawan jangkitan sekiranya terjangkit.

Tali pinggang keledar pula menghalang kecederaan teruk sekiranya kemalangan berlaku.

Tiada jaminan bagi mereka yang memakai tali pinggang keledar ini tidak akan mengalami kemalangan.

Namun, impak daripada kemalangan itu, sekiranya dialami dengan kelajuan yang sama, cara berlanggar sama, jenis kenderaan sama, tentunya individu yang memakai tali pinggang keledar kurang mengalami kecederaan berbanding yang tidak menggunakan alat keselamatan itu.

Pengambilan vaksin tidak menjamin kita tidak sama sekali dijangkiti COVID-19. Ia tidak akan menjadikan kita seperti ‘Superman’, tetapi komplikasi jangkitan adalah kurang sekiranya kita dilindungi vaksin.

Dr Noor Hisham sendiri menyatakan bahawa individu yang dilaporkan mendapat jangkitan selepas menerima vaksin COVID-19 mengalami gejala yang kurang serius berbanding mereka yang belum menerima vaksin.

Jangkitan boleh menjadi serius, terutama dalam kalangan golongan rentan iaitu warga emas, mereka mempunyai penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung, kencing manis, hiperlipidemia, obesiti dan mereka yang mempunyai daya tahan rendah.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat jangkitan, walaupun sudah menerima suntikan vaksin?

Imuniti terhadap COVID-19 tidak terbentuk sejurus dos pertama atau selepas yang kedua. Imuniti penuh memerlukan beberapa minggu selepas dos kedua.

Bagaimanapun, kadar imuniti dipengaruhi beberapa faktor dalaman individu seperti kebolehannya menghasilkan tindak balas terhadap antigen daripada vaksin terbabit untuk membina imuniti.

Antara faktor luaran yang paling utama pula ialah kadar jangkitan yang masih tinggi dalam komuniti kita. Sekiranya ramai mendapat suntikan vaksin, imuniti kelompok akan tercapai dan ramai akan mendapat perlindungan daripada dijangkiti.

Antara sebab lain ialah kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan yang harus diamalkan, walaupun selepas menerima vaksin COVID-19.

Laporan dari negara lain yang turut mencatatkan kes baharu dalam kalangan penerima vaksin, menyatakan bahawa individu yang sudah menerima vaksin ini mempunyai persepsi bahawa mereka sudah pun selamat daripada pandemik.

Justeru, ada yang mengambil langkah berani ataupun cuai dalam amalan SOP biasa untuk mencegah jangkitan.

Antara soalan yang biasa kita dengar daripada masyarakat ialah, adakah dengan mendapat vaksin, kita tidak perlu menggunakan pelitup muka dan bebas bersalaman dengan individu lain?

Jawapannya, amalan pencegahan tetap perlu dilakukan, walaupun selepas menerima vaksin COVID-19.

Kesimpulannya, jangkitan masih boleh berlaku dalam kalangan mereka yang mendapat vaksin, namun kadarnya jauh lebih rendah dan jangkitan dialami juga tidak serius berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin.

Justeru, kepatuhan kepada SOP hendaklah diteruskan sehingga imuniti kelompok tercapai. – BH ONLINE

 

  • Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close