Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.
Perdana Menteri berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.
“Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyatakan bila penyelarasan kadar tarif elektrik akan dilaksanakan atau jumlah penggunaan yang akan dikategorikan sebagai ‘penggunaan amat tinggi’.
“Jadi kita kekalkan harga elektrik bagi B40 dan M40, dan hanya dikenakan kenaikan kepada kilang-kilang besar melainkan yang ada kaitan dengan pertanian atau perniagaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Pada Februari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melaporkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM10.76 bilion bagi menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.
Ia meliputi pengguna daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), restoran, kedai runcit, bengkel kecil serta pengguna dalam kategori pertanian seperti petani, penternak dan pekebun.
Dengan pemberian subsidi berkenaan, seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik.
Menurutnya, tarif elektrik disemak setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.
Kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 adalah sebanyak RM16.16 bilion bersamaan kadar surcaj 27 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.
“Namun begitu, kerajaan telah bersetuju untuk hanya melepaskan surcaj 20 sen/kWj sahaja kepada pengguna industri dan komersial (High Voltage – HV dan Medium Voltage – MV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun ini.
“Baki surcaj sebanyak 7 sen/kWj bersamaan RM1.93 bilion ditampung oleh Kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurut Nik Nazmi, pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dilihat semula pada masa depan kerana golongan ini berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.
Menurutnya, negara perlu beralih kepada subsidi secara bersasar dalam tarif elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.
“Kita ada kerangka ICPT untuk tetapkan tarif harga elektrik. Kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna domestik walaupun T20.
“Itu satu perkara yang bagi saya perlu fikir semula pada masa depan kerana kalau cakap soal tarif untuk T20, mereka dapat gaji besar dan perlu bayar tarif lebih kompetitif.
“Untuk M40 dan B40, saya setuju kita perlu melindungi mereka,” katanya. – BH ONLINE