Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terbuka untuk membincangkan cadangan semakan semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dengan pembangkang melalui kaukus Parlimen yang ditubuhkan.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata untuk itu pihaknya akan menyediakan cadangan yang akan memperincikan mengenai definisi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang lebih jelas untuk dibawa ke mesyuarat kaukus yang menjadi platform dwipartisan Parlimen itu.
Beliau berkata, perbincangan itu penting sebelum kerajaan memutuskan untuk meratifikasi ART yang mana prosesnya kini masih lagi berjalan.
“Apabila ada proposal (cadangan), boleh kita bincang, YB (Yang Berhormat) jangan tidak datang… saya hendak jemput, bila (kita sudah) bersedia (dengan cadangan itu boleh) datang (mesyuarat kaukus),” katanya sambil merujuk kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang juga Ketua pembangkang pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Keanggotaannya terdiri ahli parlimen kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, dengan pemilihan ahli untuk blok kerajaan ditentukan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), manakala untuk blok pembangkang ditentukan oleh Ketua Pembangkang.
Pada masa sama, Johari berkata sebelum proses ratifikasi dilakukan, pihaknya melihat ada kepentingan untuk melihat isu berbangkit disebabkan salah anggap contohnya membabitkan soal kedaulatan dan kepentingan negara.
Beliau berkata, begitu juga dalam konteks ekonomi bagi memastikan tiada diskriminasi dalam hubungan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
“Contohnya, apa yang berlaku dalam perjanjian itu…jika anda sudah melakukan perjanjian dengan AS, jadi mana-mana negara yang tidak disukai (AS), kita kena ikut… tidak (benar).
“Dia punya konteks ialah, dia (AS) tidak mahu ada diskriminasi kepada mereka sekiranya kita bawa pelabur baharu. Jika ada diskriminasi, maka kita kena datang dan lihat.
“Orang (AS) yang datang awal ke negara kita dan kemudian kita bawa negara lain datang, dan kita bagi mereka insentif lebih baik yang menyebabkan AS rasa terjejas. Jadi perkara seperti ini kita perlu jelaskan (define) supaya kita tiada perbezaan dari konteks ekonomi dengan AS,” katanya.
Tak timbul tergesa-gesa
Dalam pada itu, Johari menegaskan tidak timbul soal perjanjian ART ditandatangani secara tergesa-gesa kerana proses dibuat sama seperti langkah negara memeterai 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebelum ini.
Katanya, pembabitan Malaysia dalam ART bagi memastikan akses pasaran berterusan dan stabil ke AS kerana negara itu adalah rakan dagang dan destinasi pelaburan utama negara.
Beliau berkata, nilai eksport produk Malaysia ke Amerika Syarikat adalah RM167.2 bilion pada 2022, RM161.3 bilion pada 2023; RM198.6 bilion (2024) dan RM233 bilion, tahun lalu.
“Soal perjanjian ini, sebagai sebuah negara kita sudah tandatangan 17 FTA, sembilan membabitkan FTA multilateral dan lapan adalah bilateral.
“Dalam konteks AS ini, saya difahamkan proses perbincangan yang berlaku bukan muktamad sebaliknya ia seperti perbincangan dalam mana-mana FTA yang pernah Malaysia tandatangani pada 1993, 2003, 2006, 2009, 2010 dan 2019. Ia bukan perkara baharu dari segi FTA untuk ekonomi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung kesan kepada Malaysia sekiranya ART tidak dimeterai, Johari berkata ia berisiko menyebabkan pelabur khususnya dalam sektor semikonduktor berpindah ke negara lain kerana dikenakan tarif lebih tinggi oleh AS, berbanding 19 peratus kini. – BH ONLINE




