MalaysiaPilihan Editor

RAKYAT SABAH MEMILIH: PBS Nafi Sekongkol Dengan Warisan Plus Bentuk Kerajaan Baharu Sabah

Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan tegas menafikan bahawa parti itu akan bergabung bersama Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

Ketua Penerangannya Datuk Joniston Bangkuai menegaskan dakwaan tersebut tersebar luas di media sosial susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.

“PBS, sebagai rakan setara dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal teguh dengan sekutunya – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Joniston juga memberitahu Bernama bahawa PBS turut menafikan parti itu telah mula membuat tuntutan dalam kabinet kerajaan baharu yang akan dibentuk kerana setakat hari ini perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Joniston mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu selepas mengalahkan presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan empat lagi calon dalam pertandingan enam penjuru.

PBS mengadakan mesyuarat ‘post-mortem’ keputusan pilihan raya di kediaman presiden parti pagi tadi.

PBS menyumbang tujuh daripada 38 kerusi dimenangi oleh GRS yang memberikan gabungan itu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, PKR, UPKO dan Amanah, gagal mempertahankan tampuk pemerintahan kerajaan negeri selepas menang 32 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri ke-16 kali ini. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close